Friday 12 August 2011

Bagaimana Sikap Syirik Masuk Ke Semenanjung Arab

(sambungan dari artikel Ibrahim membina bangunan Kaabah, ana asing2kan tajuk2 ini supaya rakan2 mudah mencari tajuk yang ingin dibaca)






Selepas itu, datang seorang lelaki Arab daripada suku Khuzaah yang bernama Amru bin Lu'ayy. Suku Khuzaah menyerang suku Jurhum dan menghalau mereka keluar dari Mekah. Dengan itu, suku Khuzaah dapat menguasai Mekah. Amru bin Lu'ayy adalah orang pertama yang memperkenalkan berhala kepada suku kaumnya dan kemudian amalan menyembah berhala tersebar ke seluruh suku-suku Arab yang lain.

Amru adalah seorang yang kaya dan dermawan. Dialah yang menyediakan keperluan orang ramai yang datang mengerjakan haji di Mekah. Oleh itu, orang mudah terpengaruh dengan kata-katanya dan akhirnya mereka menurut perintahnya menyembah berhala. Bukan setakat itu sahaja, selepas itu amru mencipta binatang-binatang yang kononnya suci pula supaya disembah. Antaranya diberi nama Sa'ibah, Bahirah dan Hami. Hami adalah unta betina yang melahirkan 10 ekor unta jantan. Oleh itu, unta ini dinamakan Hami dan tidak boleh ditunggang lagi, tidak boleh disembelih dan tidak boleh disakiti, sebaliknya dihormati dan dipuja.

Bermula dari situ, setiap suku Arab mempunyai berhala mereka sendiri. Hubal adalah berhala orang Mekah, Wud berhala suku Kilab. Suwa' berhala suku Huzail. Yaguth berhala suku Thoyyik dan penduduk Jerash. Ya'uq berhala suku Hamazan dan Nasr berhala orang Yaman, yang menarik lagi adalah berhala yang bernama Isaf dan Nailah, dua berhala yang disembah di kawasan Kaabah.

Menurut ahli-ahli sejarah, asalnya Isaf ini seorang pemuda dari Yaman dan Nailah seorang gadis dari Yaman. Mereka saling mencintai tetapi tidak dibenarkan berkahwin oleh keluarga. Ringkasnya, mereka berjanji bertemu di Mekah pada musim haji. Tanpa disedari ramai, mereka melakukan perbuatan zina di tepi Kaabah, sebagai balasan, Tuhan menukarkan mereka menjadi batu. Selepas itu, Isaf diletakkan di Bukit Safa dan Nailah diletakkan di Bukit Marwah sebagai pengajaran dan peringatan kepada orang lain/

Apabila Amru bin Lu'ayy datang ke Mekah, dia memindahkan kedua-dua batu itu ke Kaabah, mereka menjadikan dua batu itu berhala yang disembah kerana sudah mula lupa asal-usul batu itu. Begitulah penyembahan berhala yang semakin mendapat tempat di Semenanjung Arab.

Dalam satu peristiwa, sahabat-sahabat Muhammad bin Abdullah pernah Umar menangis dan kemudian tertawa tanpa sebab yang jelas, akhirnya ada yang berani bertanya, "Wahai pemimpin orang Islam, kenapa kamu menangis kemudian tersenyum tanpa sebab yang dapat kami fahami."


Umar menceritakan, "Dahulu aku dan orang Quraisy sangat membenci anak perempuan. Ketika aku mendapat perkhabaran anak perempuan, daripada saat kelahirannya lagi kebencianku sudah bermula. Aku pendam rasa benci itu, aku sabar sampailah umurnya enam tahun, aku sudah tidak tahan lagi, aku membawanya ke padang pasir dan aku gali lubang. Dia menyangka aku membawanya berkelah dan bermain-main, dia turut sama membantuku menggali lubang. Apabila lubang sudah siap, aku menolak dia ke dalam lubang dan aku mula menimbusnya dengan pasir, anakku yang masih belum tahu niatku, masih ingat aku bermain-main, dia tolong mengibaskan pasir-pasir daripada janggut dan pakaianku, tetapi akhirnya aku menimbusnya hidup-hidup tanpa belas kasihan. Inilah kehidupan kami sebelum kehadiran Muhammad, kami memuliakan anak lelaki dan menghina anak perempuan bahkan membunuh mereka hidup-hidup. Maha Besar Tuhan, Maha Baik Tuhan yang menghantar Muhammad yang meletakkan perempuan di tempat yang mulia. Marilah kita bersyukur di atas nikmat ini, Itulah rahsianya, apabila aku teringat kisah ini, aku menangis."


Umar berkata lagi, "Berkenaan mengapa aku tersenyum, pada suatu hari aku keluar dari bandar Mekah. Apabila keluar dari Mekah biasanya kami membawa batu dari Mekah untuk dijadikan sembahan, tetapi hari itu aku terlupa membawa batu, tetapi aku ada membawa kurma, aku membuat berhala daripada kurma dan aku sembah kurma itu. Apabila makanan aku habis, mulalah aku makan Tuhan aku itu sedikit demi sedikit. Apabila aku teringat kisah ini, aku ketawa sendirian."





 Firman ALLAH SWT:
Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.(QS. 4:116)

  Firman ALLAH SWT:
Mereka menjadikan orang-orang alimnya, dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah, dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.(QS. 9:31)

*Jadikanlah iktibar dan pengajaran dan ambillah manfaat dari kisah ini..insyaALLAH, ana update lagi blog ini dengan kisah-kisah seterusnya, moga dapat manfaatnya... terima kasih kerana sudi membaca..:-)






No comments:

Post a Comment

CATATAN POPULAR