Thursday 15 December 2011

Usrah Tunjang Tarbiyah



"Genggamlah dengan erat hati, pegangan tauhid yang hakiki...."

Assalamualaikum w.h.b..

Setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Yang Maha Esa serta selawat ke atas junjungan besar Rasullullah s.a.w. pagi tadi saya mendapat berpuluh-puluh email dari sahabat2 seperjuangan, banyak juga soalan dan pandangan yang diberikan, terima kasih kepada sahabat2 semua kerana sudi berkongsi ilmu bersama saya, bila dibaca satu persatu, saya tertarik dengan dua email bersertakan soalan oleh seorang sahabat non-muslim dan seorang sahabat seagama iaitu islam bertanyakan soalan yang mirip sama, begini soalannya :

(Si fulan (islam) : Assalamualaikum ustazah nadirah, saya nak tanya satu soalan, dah lama saya keliru dengan benda ini, boleh ustazah terangkan apa sebenarnya objektif, pengertian, matlamat, sejarah, rukun-rukun, pengisian serta adab-adab berusrah? saya selalu tengok ustazah bawa anak-anak murid dan kawan-kawan ustazah berkumpul, dan ustazah pasti ingat kan? saya datang jumpa ustazah dan tanya ustazah, ustazah sedang buat apa tadi? secara ringkas ustazah jawab "Usrah"..lalu ustazah tersenyum..malu juga nak tanya ustazah apa itu usrah, sebab saya tak tahu, tapi saya cuba langkah lain, saya hantar email ini supaya ustazah boleh terangkan kepada saya dan rungkaikan permasalahan saya ini, terima kasih... Assalamualaikum....

(Si fulan (non-muslim) : Nadirah, lin mau tanya sm kamu, apa itu usrah? x paham.. apa benda tu? sbb hari tu lin dgr kamu bincang cakap pasal usrah dengan kawan2 lin tpi lin x paham... boleh explain x?

Baiklah, kedua-dua soalan tersebut saya akan cuba jawab dan sebarang teguran dari para arif dan bijaksana serta sahabat-sahabat sangat saya harapkan dan alu-alukan agar saya dapat memperkemaskan lagi blog dan ruangan perkongsian ini, semoga mendapat manfaat dari perkongsian ini... baiklah....

apa objektif saya membuat dan memilih penulisan ini? secara ringkas supaya :

1 : Ahli usrah memahami pengertian dan konsep usrah yang sebenar.
2 : Ahli usrah memahami keperluan mengikuti usrah dan matlamatnya.
3 : Ahli usrah memahami dan menghayati rukun-rukun usrah dan menyedari bahawa ia adalah antara keistimewaan yang di dapati daripada pembabitan diri dalam usrah.

Sekarang saya akan terangkan beberapa perkara yang diminta oleh sahabat kita dalam soalan di atas mengenai usrah, antaranya :

1 : Pengertian usrah
2 : Matlamat usrah
3 : Sejarah usrah
4 : Rukun-rukun usrah : Ta'aruf, tafahum, takaful
5 : Adab-Adab usrah



PENGERTIAN USRAH


Usrah dalam bahasa arab ialah keluarga. Dari segi istilah, usrah bermaksud kumpulan individu muslim (afradul muslim) yang beriman dengan Allah s.w.t, berusaha tolong-menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati islam. Usrah membentuk satu ikatan perpaduan yang dibina atas dasar aqidah Islamiyyah dan terjalin dengan satu ikatan persaudaraan islam (Ukhuwwah Islamiyyah). Usrah juga merupakan medan tarbiyyah dalam usaha membentuk generasi yang sanggup hidup dan mati memperjuangkan islam.

MATLAMAT USRAH


1 :Meningkatkan dan memantapkan kefahaman ahli usrah tentang ajaran islam yang syumul.
2 : Mengukuhkan semnagat ukhuwwah islamiyyah dan memupuk semangat bertindak secara berjemaah.
3 : Menambahkan penghayatan islam dan melahirkan rasa tanggungjawab terhadap islam.
4 : Membentuk satu generasi yang benar-benar memahami islam, beramal dengan ajaran islam dan bersedia untuk memperjuangkan agama Allah s.w.t.

SEJARAH USRAH


Sejarah usrah bermula pada zaman Rasullullah s.a.w, apabila orang yang memeluk islam meningkat kepada 50 lelaki dan wanita. Rasullullah telah memilih sebuah rumah yang terpencil iaitu rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai tempat menyampaikan segala ajaran-ajaran islam, tunjuk ajar dan nasihat. Semua ini telah berjaya menarik hampir 40 orang lagi memeluk islam. Kebanyakan mereka adalah golongan fakir miskin dan hamba yang tidak ada tempat dalam masyarakat Quraisy.

RUKUN-RUKUN USRAH


Rukun usrah terdiri daripada 3 perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua ahli usrah dan bersungguh-sungguh menjayakannya agar ikatan usrah tersebut tidak semata-mata menjadi beban yang tidak membawa sebarang erti. Tiga rukun usrah tersebut ialah :

1 : Al-Ta'aruf (Berkenalan)
2 : Al-Tafahum (Persefahaman)
3 : Al-Takaful (Bantu-membantu / perseimbangan)

Al-Ta'aruf (Berkenalan)

Berkenalan antara satu sama lain merupakan rukun pertama usrah. Setiap ahli hendaklah mengenali antara satu sama lain serta berkasih sayang dalam naungan ruh Allah. Mereka perlu menyedari dan memahami pengertian ukhuwwah sejati sesama saudara. Ahli juga digalakkan berusaha bersungguh-sungguh supaya tiada sebarang perkara yang boleh mengeruhkan hubungan tersebut. Ini boleh dilakukan dengan menjunjung perintah Allah s.w.t dan sunnah Rasullullah s.a.w, bahkan kedua-duanya wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain. Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya setiap orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka perbaikilah hubungan sesama saudara kamu........" (Al-Hujuraat : 10)

firman Allah seterusnya :

"....dan hendaklah kamu semua berpegang kepada tali Allah kesemuanya dan janganlah kamu berpecah belah......." (Ali-Imran : 101)

Sabda Rasullullah s.a.w bermaksud :

"seseorang mukmin bagi mukmin yang lain seperti bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.:"

Sabda Rasullullah s.a.w :

"Orang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya.:

Sabda Rasullullah s.a.w :

"Perbandingan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang mereka, belas kasihan sesama mereka dan perasaan simpati mereka, adalah seperti badan yang satu; apabila mana-mana anggota badan mengadukan hal, maka seluruh tubuh akan menanggungnya dengan berjaga malam dan merasai demam."

Al-Tafahum (Persefahaman)

Rukun kedua usrah ialah Tafahum atau persefahaman. Kita dituntut sepanjang masa untuk berpegang teguh kepada kebenaran, iaitu dengan mengerjakan suruhan Allah s.w.t. dan meninggalkan segala laranganNYA. Ahli usrah mesti sentiasa meneliti diri sehalus-halusnya samada benar-benar telah menunaikan perintah Allah s.w.t. atau menderhakai perintahNYA. Setelah memeriksa diri sendiri, maka hendaklah nasihat menasihati antara satu sama lain apabila ada kekurangan pada saudara yang lain.

Dalam memberi nasihat, yang diberi nasihat hendaklah bersedia menerima nasihat dari saudaranya dan berterima kasih atas nasihat tersebut, manakala pemberi nasihat pula, janganlah berburuk sangka terhadap saudaranya yang tersilap tadi walaupun perubahan hati itu sekadar jarak sehelai rambut sekalipun.

Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik dan tidak memandang rendah terhadap saudara yang dinasihati. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia bahkan hendaklah memberi nasihat dengan cara tidak melahirkan secara terang kesilapan saudaranya itu selama sebulan dan tidak menceritakan kecacatan yang telah diperhatikannya kepada ketua usrah. Ia hendaklah menceritakan hal itu kepada ketua usrah jika merasa tidak terdaya untuk memperbaikinya.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, janganlah sekali-kali kita merasa tawar hati terhadap saudara yang bersalah tadi, malah hendaklah memberikan kasih sayang kepadanya sehinggalah berlaku apa-apa perubahan yang dikehendaki. Saudara yang diberi nasihat pula janganlah menunjukkan kedegilan dan sikap keras kepalanya kepada pemberi nasihat. Ini kerana martabat "berkasih sayang kerana Allah" adalah setinggi-tinggi martabat kasih sayang sesama manusia. Nasihat pula merupakan dasar yang amat penting dalam agama islam. Ini bersesuaian dengan sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud. "Agama itu adalah nasihat".

Al-Takaful (Bantu-membantu / perseimbangan)

Al-Takaful atau bantu-membantu adalah memelihara nasib sesama sendiri hingga tiada yang terbiar dan terdampar. Dasar Al-Takaful ini hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk bersama-sama memikul bebanan sesama sendiri. Dasar ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhuwwah yang sejati. Untuk mengamalkan rukun al-takaful ini, kita hendaklah sentiasa bertanya khabar berita, ziarah-menziarahi dan saling memberi pertolongan sedaya mungkin. Sabda Rasullullah s.a.w yang berbunyi :

"Sekiranya seseorang kamu berjalan kerana hendak menolong saudaranya, itu adalah lebih baik baginya daripada beriktikaf selama sebulan di dalam masjidku ini."

Kesimpulannya, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli usrah untuk memelihara dan melaksanakan rukun-rukun usrah ini dengan sebaik mungkin. Kita mesti saling percaya mempercayai dan menjaga kerahsiaan ahli usrah. Bagi para naqib/at pula, laksanakanlah amanah dan tugas ini dengan penuh keikhlasan untuk menegakkan agama Allah, istiqamah dengan perjuangan yang benar dan berusaha ke arah mewujudkan suasana ukhuwwah Islamiyyah di kalangan anggota usrah. Mudah-mudahan Allah sentiasa membantu kita.

Berusrah (muslimin)

PENGISIAN USRAH

Setiap individu mempunyai kewajipan yang banyak berbanding dngan masa yang ada, tambahan lagi bagi seseorang yang berada dalam jalan perjuangan islam. Oleh itu, pertemuan usrah hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara berikut : 

*Membentangkan permasalahan dan kesalahan

Setiap ahli usrah hendaklah membentangkan permasalahan dan kesulitan yang dihadapi, kemudian saudara yang lain turut mengambil berat untuk menolong anggota mengatasi masalah tersebut. Ini hendaklah dilakukan dalam suasana ukhuwwah sejati semata-mata kerana Allah s.w.t. Sabda Rasullullah s.a.w :

"Orang mukimin itu adalah cermin bagi saudaranya."

Sabda Rasullullah s.a.w seterusnya yang bermaksud :

"Perbandingan orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang mereka, belas kasihan sesama mereka, dan rasa simpati mereka adalah seperti badan yang satu; apabila mana-mana anggota badan  mengadukan hal maka seluruh anggota yang lain turut mengganggunya dengan berjaga malam dan merasai demam."

*Bermuzakarah

Kita digalakkan bermuzakarah iaitu bertukar-tukar pendapat berkaitan urusan umat islam. Hendaklah menatap risalah-risalah dan taklimat yang diedarkan. Dalam setiap pertemuan usrah, janganlah ada sebarang pertengkaran dan pertikaman lidah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar tatatertib dan dengan cara menghargai pendapat yang datang dari semua pihak.

*Kajian buku

Kita juga digalakkan mengadakan kajian yang berfaedah mengenai sesebuah kitab yang bermutu. Apabila sesuatu kajian berjaya dilakukan, maka hendaklah beralih untuk melaksanakan isi kandungannya dalam menjayakan erti ukhuwwah yang sebenar. Perkara-perkara sebegini tentulah tidak dapat disediakan dalam talimat-taklimat usrah.

*Program tambahan

Dalam usaha mengukuhkan ikatan persaudaraan di kalangan ahli usrah, maka perkara tersebut perlu diambil berat :

(a) mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan sebagainya.
(b) Mengadakan perkelahan riadhah pada setiap hari.
(c) Berpuasa dan berbuka puasa bersama-sama seminggu atau dua minggu sekali.
(d) Sembahyang berjemaah bersama-sama di surau atau masjid.
(e) Berusaha untuk bermalam beramai-ramai dan berqiamullail.

Berusrah (muslimat)

ADAB-ADAB USRAH

1 : Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ


Maksudnya : katakanlah : "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah taala." (Al-an'aam : 162)

2 : Datang ke tempat usrah tepat pada waktu yang ditetapkan.

3 : Meminta izin untuk masuk dan keluar usrah serta memberi salam sebelum masuk usrah.

4 : Datang ke majlis usrah dalam keadaan berwudhu' dan suci tubuh badan.

5 : Datang ke majlis usrah dengan persiapan dan membawa keperluan yang diperlukan seperti Al-Quran, teks usrah dan buku catitan.

6 : Hadir usrah dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwwah Islamiyyah dan berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman islam.

7 : Mendahului majlis usrah dengan Al-Fatihah, pujian dan syukur ke hadrat Allah s.w.t, serta selawat ke atas Rasullullah s.a.w. Menutup majlis dengan bacaan Surah al-Asr dan Tasbih Kaffarah dengan bertadabbur maknanya.

8 : Jangan mengangkat suara yang tinggi melebihi keperluan, tidak banyak ketawa dan tidak banyak bergurau serta tidak banyak bertengkar.

9 : Sentiasa berusaha untuk merapatkan ukhuwwah Islamiyyah di kalangan ahli usrah.

10 : Berada dalam keadaan sopan santun dan berbincang dengan baik dalam segala perkara yang dibangkitkan.

11 : Bersalaman dan bermaafan selepas selesai usrah.

Alhamdulillah, ini lah serba sedikit yang mampu saya huraikan di runagan ini tentang usrah, segala kesilapan dan kekuranagn adalah kelemahan daripada saya sendiri, oleh itu jika terdapat sebarang kesilapan dalam penulisan di atas harap dimaafkan. Teguran membina amatlah dialu-alukan untuk membetulkan kesilapan pada penulisan ini, Akhir kata, terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa untuk membaca dan menziarah blog ini, semoga sama-sama mendapat manfaatnya... JOM USRAH!!

2 comments:

  1. alhamdulillah~~~ana skrang pun masih baru dalam Usrah di UiTM...terima kasih ya ukhti ats perkongsian ilmu itu,ia cukup berguna bagi ana yg masih baru dlm usrah nie,syukran..^^

    ReplyDelete
  2. Salam ukhti.minta copy yea..:-)

    ReplyDelete

CATATAN POPULAR