*Assalamualaikum buat kawan2 semua, erm, kali ni nak kongsi lagi, hari tu ada seorang sahabat ada bertanyakan tentang makna surah Al-Fatihah ayat 6, daripada perbualan kami melalui YM, ana ambil sedikit penerangannya dan ana gabungkan dengan beberapa bahan rujukan serta apa yang ana tahu tentang surah Al-Fatihah ayat 6 ini melalui pembelajaran ana di Pondok menjadi satu artikel, sama2 lah kita kongsi yea...insyaALLAH.. ana mulakan dengan lafaz بسم الله الرحمن الرحيم
Cuba lihat ayat di bawah
Firman Allah s.w.t, dalam ayat 6 surah Al-Fatihah, maksudnya: "Bimbinglah kami ke jalan yang lurus."Ayat ini sebenarnya merupakan suatu doa yang dipanjatkan setelah hambaNYA mempersembahkan segala pujian kepadaNYA (ayat pertama hingga ayat ke 4) diikuti dengan pengiktirafan rasa kehambaan dan ketelusan dalam beribadah (dalam ayat ke 5). Ayat ke 6 dan ke 7 pula adalah akuan permohonan kepada Allah, agar mendapat bimbingan.
Perkara ini merupakan keadaan yang sempurna bagi seorang hamba yang mengajukan permintaan. Setelah dia memuji Allah s.w.t, kemudian memperakui komitmennya sebagai hamba, akhirnya dia memanjatkan keperluannya dan saudara seakidahnya dengannya yang lain.
Selain itu permohonan yang sempurna dapat mempermudahkan pemberian yang dihajatkan itu juga berlaku apabila seseorang hamba memberitahu keadaan dan keperluannya terhadap bantuan Allah.
Contoh peristiwa
Contoh yang paling tepat ialah peristiwa doa Nabi Musa sewaktu melarikan diri ke Madyan. Nabi Musa a.s. yang masih dihantui rasa bersalah kerana membunuh tanpa niat, berhadapan dengan tempat yang tidak pernah dikenalinya, berjauhan dari negeri asal, tanpa saudara, tanpa kenalan. Pergantungannya mutlak pada Allah.
Dalam suasana seperti itu, kata-kata yang terbit dari hati kecilnya hanyalah memohon kepada Allah bantuan ihsan daripadaNYA.
Kata-kata yang menampakkan kehambaan ini diabadikan Allah menerusi ayat ke 24 surah Al-Qasas maksudnya: "Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternakan mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan."
Bimbingan yang utama
Berbalik kepada ayat yang ke 6 surah Al-Fatihah, di sini kita dapat fahami bahawa petunjuk yang sebenarnya hanya datang daripada Allah s.w.t. Pertunjuk yang mempunyai berbagai bentuk, sesuai dengan peranan seseorang individu itu.
FirmanNYA dalam surah Taha ayat ke 50, bermaksud: "Nabi Musa menjawab; "Tuhan kami adalah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu, kejadian semula jadinya yang sesuai dengannya, kemudian ia memberi pertunjuk kepadanya akan cara menggunakannya."
Manusia secara dasarnya dibekalkan dengan dorongan untuk mencari perkara yang diperlukan. Namun melalui naluri semata-mata tidak membolehkan manusia mencapai sesuatu yang tidak mampu dilihatnya. Justeru manusia memerlukan bimbingan Allah, agar tidak tersilap lantaran terlalu bergantung pada akal dan naluri semata-mata.
Ikhlas mengharungi kehidupan
Sentiasalah berdoa agar dapat mengharungi kehidupan seharian: dengan harta dan rezeki yang diusahakan dari sumber yang halal; ilmu yang dicari secara ikhlas; kesihatan yang dijaga sebaiknya; dan lain-lain, semuanya menyumbang dalam bentuk sebuah pakej yang sempurna ke arah kesempurnaan perjalanan dan melancarkannya.
Seorang sahabat Rasullullah berbangsa yahudi, Abdullah bin Salam, selepas memeluk islam, telah bermimpi. Dalam tidurnya beliau terlihat bahawa beliau diperintahkan oleh seseorang agar melalui jalan yang lurus yang membawa ke suatu kebun yang damai lagi mengasyikkan keindahannya. Di hujungnya terdapat tiang yang tinggi menjulang ke langit. Setelah memanjatnya seperti yang disuruh, beliau akhirnya berpegang kuat pada rantai daripada emas di bahagian atasnya.
Nabi s.a.w. telah mentafsirkan mimpi itu bahawa jalan yang lurus itu adalah jalan ahli syurga, taman itu adalah kehidupan dalam islam, tiang itu adalah perlaksanaan rukunnya, dan rantai emas itu adalah akidah yang benar.
Demikianlah benarnya firman Allah dalam ayat ke 6 ini bahawa dihujung jalan yang benar ini terdapat redhaNYA. Di situlah juga bersemadinya rahmatNYA dalam taman-taman syurga yang berkekalan nikmatnya.
*Memang menjadi sifat manusia, apabila menikmati kesenangan mudah lupa diri dan tidak bersyukur. Tetapi apabila ditimpa kesusahan mereka akan cepat kembali pada Allah. Mengingatinya dan memohon dijauhi kesusahan tersebut. Sesungguhnya yang demikian itu bukanlah sifat sejati orang-orang yang beriman. Oleh itu marilah kita sentiasa mengingati Allah, tidak kira semasa senang ataupun susah, mudah-mudahan kita tergolong sebagai hamba-hambaNYA yang taat dan bersyukur
No comments:
Post a Comment