Friday, 12 August 2011

Bagaimana Agama Yahudi Bertapak Di Semenanjung Arab



Ahli-ahli sejarah memulakan cerita bagaimana agama Yahudi bertapak di Semenanjung Arab dengan kisah seorang pemimpin Yaman yang bernama Rabiah dan Nasr. Beliau bermimpi pelik dan kemudian mimpi itu ditafsirkan oleh ahli nujum.

Ahli nujum berkata, "Mimpi tuanku bermaksud orang-orang Habsyah akan menakluki Yaman." Tanya Rabiah, "Bila?" Ahli nujum berkata, "Sekitar 60 sehingga 70 tahun lagi."

Rabiah takut hal itu berlaku ke atas zuriatnya, lalu dia membawa semua ahli keluarganya meninggalkan negeri Yaman. Mereka berpindah ke Hirah yang berdekatan dengan Iraq. Akhirnya mereka menguasai Hirah. Ahli-ahli sejarah mengatakan, Nu'aim bin Munzir, Raja Hirah adalah daripada keturunan Rabiah dan Nasr.

Pada masa itu, raja-raja Rom dipanggil Kaisar, raja-raja Farsi dipanggil Kisra, raja-raja di negeri Habsyah dipanggil najasy, dan raja-raja di negeri Yaman dipanggil tubba'. Di dalam Al-Quran, apabila disebut kaum tubba', ia bermaksud orang-orang Yaman.

Suatu masa, Yaman diperintah oleh tubba' yang bernama Tabban bin As'ad. Dia adalah raja yang terkenal dan selalu keluar berdagang dan melancong. Pada suatu masa, dia keluar berdagang ke negeri Syam dengan ditemani oleh anaknya dan tentera-tenteranya. Sebelum ke Syam, mereka terlebih dahulu singgah di Madinah, kemudian anaknya ditinggalkan menguruskan perniagaannya di Madinah.

Semasa Tabban bin As'ad pergi ke Syam, berlaku perselisihan faham antara anaknya dengan orang-orang Madinah sehingga orang-orang Madinah membunuh anaknya. Apabila Tabban tahu, dia berpatah balik hendak menuntut bela atas kematian anaknya. Berlakulah peperangan antara orang Yaman dan orang Madinah.

Dalam peperangan itu, ada suatu perkara yang memelikkan Tabban, Orang Madinah hanya berperang pada siang hari. Apabila sampai waktu malam, mereka berhenti berperang. Pada waktu malam orang-orang Madinah menghantar makanan dan minuman kepada tentera Tabban yang memerangi mereka pada siang hari, Sampai begitu sekali mereka memuliakan tetamu walaupun tetamu itu adalah musuh yang memerangi mereka pada siang hari. Walaupun dilayan begitu baik, Tabban tetap mahu menuntut bela kematian anaknya.

Di tengah-tengah peperangan ini, pendeta-pendeta Yahudi yang datang dari Syam menemui Tabban. Mereka mahu berbincang dengan Tabban.

Selepas masuk menghadap Tabban mereka bertanya, "Apa yang kamu mahu daripada peperangan ini, wahai Tabban?"

Tabban berkata, "Aku mahu merosakkan Madinah."

Pendeta Yahudi berkata kepada Tabban, "Kamu tidak akan berjaya, Tuhan akan musnahkan kamu. Madinah ini adalah tempat hijrah Muhammad bin Abdullah , begitulah yang ada disebut dalam kitab-kitab kami."

Dari situ, Tabban berminat dan tertarik mendalami kitab suci orang Yahudi yang dipanggil Taurat. Akhirnya, dia memeluk agama Yahudi. Dengan itu, dia berhenti memerangi orang-orang Madinah, Selepas itu dia dan tenteranya bergerak ke Mekah.

Pada masa itu, orang Yahudi suku Huzail memusuhi orang Mekah dan mereka juga tidak suka orang Yaman. Mereka mengambil peluang ini melaga-lagakan orang Yaman dengan orang Mekah. Mereka menghadap tabban dan menceritakan di Mekah terdapat bangunan iaitu Kaabah di mana di bawah Kaabah ini terdapat banyak emas dan permata. Memang pada masa itu orang-orang Arab menanam emas dan permata di bawah Kaabah bagi memuliakan Kaabah.

Apabila Tabban mendengar hal ini, datang rasa tamak hendak menguasai harta ini. Dia lalu mempersiapkan tenteranya bagi menyerang Mekah dan Kaabah. Apabila pendeta Yahudi yang masih ada bersama mereka kerana mengajar mereka agama Yahudi mendapat tahu perkara itu, mereka menghadap Tabban. Mereka menasihati Tabban supaya tidak menyerang Mekah dan Kaabah.

Mereka berkata, "Yang kami tahu, Kaabah inilah satu-satunya rumah Tuhan di atas muka bumi ini. Kalau kamu serang Kaabah, Tuhan akan musnahkan kamu."

Tabban menerima nasihat itu dan meminta pandangan pendeta Yahudi itu apa yang patut dia lakukan apabila dia memasuki Mekah nanti.

Pendeta Yahudi berkata, "Apabila tuan masuk Mekah nanti, tuan besarkan Kaabah."

"Bagaimana?" Tabban bertanya.

Pendeta Yahudi berkata, "Tuan tawaf sekeliling Kaabah."

Tabban bertanya kepada pendeta, "Adakah kamu akan tawaf juga?"

Pendeta berkata, "Kami pun hendak tawaf, tetapi oleh kerana Kaabah pada masa ini dipenuhi dengan berhala di sekelilingnya, kami para ulama tidak sepatutnya tawaf dalam keadaan itu."



Tabban pun melaksanakan nasihat pendeta Yahudi itu. Semasa di Mekah, dia bermimpi memakaikan kelambu pada Kaabah. Dia memerintahkan orang-orangnya supaya menyiapkan kelambu Kaabah. Dengan itu, orang yang pertama memakaikan kelambu pada Kaabah adalah Tabban bin As'ad, Raja Yaman ini. Selepas itu, barulah suku Arab menyambung tradisi ini.

Apabila Tabban balik ke Yaman, dia memerintahkan semua rakyatnya masuk agama Yahudi tetapi rakyatnya tidak setuju. Rakyat Yaman ketika itu menyembah api. Di setiap rumah mereka ada rumah api. Apabila mereka bergaduh sesama sendiri, mereka pergi ke rumah api itu. Apabila rumah api dibuka, siapa yang mula-mula disambar api, dialah yang bersalah. Mereka mengambil keputusan berhakim dengan api dalam masalah arahan Tabban ini. Tabban pun bersetuju.

Pada hari yang ditentukan, pendeta Yahudi itu dibawa ke rumah api. Begitu juga dengan pendeta Majusi yang menyembah api.Apabila dibuka pintu rumah api, api menyambar pendeta Majusi. Mereka lari menyelamatkan diri. Rakyat tidak puas hati, diulang lagi bagi kali kedua. Kali ini pendeta Majusi dipaksa jangan lari. Kali ini pun terkena pendeta Majusi juga. Akhirnya, pendeta Majusi mati dibakar oleh api di situ. Dengan itu, semua rakyat Yaman masuk agama Yahudi. Demikianlah menurut ahli-ahli sejarah bagaimana Yahudi masuk ke Yaman dan seterusnya ke Semenanjung Arab.

No comments:

Post a Comment

CATATAN POPULAR