Thursday, 8 December 2011

Menikmati SAKIT

Assalamualaikum pembuka bicara,
Istimewa buat pembaca setia, 
hmm, dah lama rasanya x bersua bersama,
nak buat macam mana sibuk setiap masa,

Berseloka sejenak...smile for problem, dah lama rasanya tak update blog "Permaidani Cintaku" ini, hari ini baru ada masa nak update semula, tak apa, asalkan kita ikhlas berkongsi..baiklah, kali ini ana nak menulis sedikit tentang nikmat sakit, jom sama2 layan perkongsian di bawah..:-)


di wad

Sesungguhnya mensyukuri nikmat itu suatu kewajipan ke atas orang yang beriman. Manakala kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan Allah kepada seorang hamba. Namun kenikmatan itu hanya dapat diukur oleh orang yang sedang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut hilang. Bilamana sakit menimpa, maka sekaligus ia telah melenyapkan kebahagiaan.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a, Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."

Namun orang yang beriman, apabila ditimpa musibah penyakit ia tetap berzikir kepada Allah, bersyukur, bersabar, dan mengharapkan ganjaran pahala, sebagaimana sebuah hadis riwayat Muslim daripada Suhaib r.a, beliau berkata: "Rasullullah s.a.w.bersabda (yang bermaksud): "Sungguh ajaib keadaan seorang Mukmin seluruh keadaannya pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya. Apabila ia ditimpa musibah, ia akan bersabar dan musibah itu akan menjadi kebaikan buat dirinya."

bilik pembedahan

Sakit Dapat Menghapuskan Dosa

Sekiranya orang yang sakit mahu merenung pelbagai keuntungan dan kebaikan daripada penyakitnya, nescaya ia tidak akan mengangankan kesembuhan daripada penyakit tersebut.

Selain penyakit dapat menghapuskan dosa-dosa, ia juga dapat mengangkat darjat seseorang di sisi Allah. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:"Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaanNYA, Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaanNYA."

Apabila cubaan dan penyakit menimpa orang yang memiliki hubungan yang baik dengan Allah, lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda kebaikan dan tanda cinta kasih daripada Tuhannya. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,"Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah akan percepatkan seksaan di dunia."

Abdullah bin Mas'ud r.a. pernah menemui Rasullullah s.a.w. ketika baginda s.a.w. mengalami demam teruk. Beliau bertanya:"Wahai Rasullullah! Engkau juga mengalami demam seteruk ini?" Baginda menjawab:"Betul, bahkan aku merasai demam dua kali ganda lebih berat daripada yang biasa kamu rasakan." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sa'ad bin Abi Waqqas pernah ditanya seseorang,"Siapakah orang yang paling berat cubaannya?" Beliau menjawab:"Rasullullah s.a.w pernah bersabda (yang bermaksud):"Orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang di bawah kedudukan mereka) secara berturut. Seorang hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah, maka cubaan yang menimpanya juga sesuai dengan kadar imannya. cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di muka bumi tanpa memiliki sebarang dosa lagi."

Suatu hari, Rasullullah s.a.w. datang menemui Ummu al-Saib, Baginda bertanya:"Kenapa engkau menggigil seperti itu wahai Ummu Saib?" Wanita itu menjawab:"Demam, Allah tidak memberkati padanya." Rasullullahs.a.w. bersabda:"Jangan engkau mengutuk penyakit demam kerana penyakit itu boleh menghapuskan dosa-dosa anak-anak Adam.." (Riwayat Muslim)

Mengharapkan Sakit

Imam Ibn Abi al-Dunya menceritakan:"Sesungguhnya para ulama dahulu mengharapkan ditimpa demam satu malam agar diampunkan dosa-dosa mereka yang lampau."

Mengapa perlu bersedih apabila ditimpa penyakit? kemungkinan dengan penyakit itu kita memiliki kedudukan di sisi Allah Taala yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan amal ibadat. Jadi, Allah terus memberi cubaan kepada kita dengan hikmahNYA yang mungkin kita tidak menyukainya. lalu ia mengurniakan kepada kita kesabaran dalam menghadapinya sehingga kita mencapai kedudukan tersebut.

Antara Maha Lembutnya Allah s.w.t, dan rahmatNYA, bahawa apabila Allah menutup satu pintu kebaikan bagi seseorang, nescaya Ia akan membuka banyak lagi pintu kebaikan yang lain. Bagi orang yang sakit, Allah tidak menghalangnya daripada mendapat pahala daripada pelbagai ibadah yang biasa mereka lakukan, meskipun mereka tidak menyempurnakannya lagi kerana mereka sedang sakit.

Sebuah hadis riwayat al-Bukhari, daripada Abu Musa al-'Asy'ari r.a, Beliau bercerita:"Rasullullah s.a.w. bersabda: Kalau seorang hamba sakit atau sedang dalam musafir, pasti Allah akan menulis baginya pahala seperti ketika ia mengamalkan ibadah semasa masih sihat dan sedang bermukim."

Kemuliaan apa lagi yang mahu diperoleh setelah diberikan Allah kemuliaan ini? Keutamaan apa pula yang lebih luas selain daripada keutamaan daripada Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan? Ketika sakit, seorang hamba berehat, namun Allah masih menulis pahala daripada ibadah dan perbuatan baik yang diamalkan semasa sihat.

Ya Allah, ampunilah daku....

Selepas Kesukaran Ada Kemudahan

Sesungguhnya setiap kali Allah mendatangkan kesusahan, pasti Allah Taala datangkan kemudahan sesudahnya. Ini kerana ia sudah menjadi sunnatullah yang berlaku terhadap makhlukNYA.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Inshirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud:"Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesudahan itu ada kemudahan."

Boleh jadi sebagai kesukaran dan kesulitan itu membuatkan seseorang hamba itu tertekan jiwanya, namun pasti ada jalan keluar dari sisi Allah yang akan diperolehinya. Mungkin sahaja seseorang yang menghadapi saat kesukaran dan dirasakan tidak akan dapat memperoleh penyelesaian, tiba-tiba terbuka dihadapannya jalan keluar daripada kesukaran yang tidak pernah ia terfikir sebelumnya.

Orang yang terkena bencana musibah, hakikatnya sedang menanti kesenangan dari orang yang sedang dalam kesenangan.

Jangan Ikut Terlunjuk Syaitan

Syaitan tidak pernah merasa letih untuk menyesatkan seseorang Muslim samada semasa ia kuat atau lemah, sihat ataupun sakit. oleh sebab itu, hendaklah kita berjaga-jaga terhadap hasutan syaitan setiap masa.

Apabila seseorang hamba itu bersabar menahan beratnya penyakit tersebut dan rasa sakit yang hebat, itu lebih baik daripada menempuh cara yang akan mengiringinya ke dalam neraka yang menyala-nyala.

Wallahua'lam

Tamat sudah perkongsian hamba,
kalau salah minta tegur hamba,
sama2 lah baiki semula,
biasalah hamba ni manusia biasa je...:)
READ MORE- Menikmati SAKIT

Sunday, 2 October 2011

5 prinsip perundangan Islam


HUKUMAN hudud, qisas, diyat dan ta’zir dalam Kanun Jenayah Syariah bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk kepada lima perkara :
1. Menjaga agama – Iaitu menjaga akidah supaya tidak terpesong, tidak menjadi orang murtad yang wajib dijatuhkan hukuman bunuh ke atas mereka, jika mereka enggan bertaubat setelah disuruh bertaubat lebih dulu sebelum mereka dihukum bunuh. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menukarkan agamanya (murtad) maka bunuhlah dia. (Bukhari)
2. Menjaga nyawa – Iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuk juga menjaga anggota tubuh badan seseorang, iaitu memberi seseorang manusia hak hidup dan selamat anggota tubuh badan mereka dari dicederakan dan dirosakkan. Mereka yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan orang lain, tertuduh wajib dijatuhkan hukum qisas atau diyat. Firman Allah Taala: “Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 179)

3. Menjaga akal fikiran – Menjaga akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman memabukkan, mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukum sebat tidak lebih dari 80 kali sebatan dan tidak kurang dari 40 kali sebatan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ali: “Rasulullah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar menyebat 40 kali sebat juga dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat, semuanya adalah sunnah Rasulullah SAW dan ini yang lebih aku sukai. (Riwayat Muslim)
4. Menjaga keturunan – Menjaga seseorang manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, wali dan warisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak, mereka yang melakukan perzinaan itu wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ubaidah bin Al-Somit: “Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah memberi jalan untuk mereka. Perawan sama jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda (duda) sama janda berzina hukumannya disebat sebanyak 100 kali sebat dan direjam.” (Muslim dan Abu Daud)
5. Menjaga harta benda – Menjaga harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan, sebagaimana firman Allah Taala: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Maidah: 38)
“Hanya balasan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh saja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas saja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksaan yang amat besar.” (Al-Maidah: 33)
Sumber buku Qanun Jenayah Syariah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis oleh Said Ibrahim, Bekas Mufti Sabah
READ MORE- 5 prinsip perundangan Islam

Objektif MAQASID SYARIAH



Allah mencipta sesuatu itu ada tujuan dan hikmahnya. Mustahil bagi Allah menjadikan suatu perkara itu tanpa arah tujuan dan matlamatnya.
Penciptaan Allah adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia. Untuk memahami hakikat ini, Allah SWT memerintahkan manusia agar bertadabbur dan bertafakur melihat hikmah di sebalik segala yang diciptakan.
Allah SWT mencipta manusia dengan tujuan menjadikan mereka sebagai khalifah di atas muka bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu sebagai pemakmurnya. (Hud: 61)
Bagi membantu manusia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah, Allah SWT menurunkan syariatnya yang wajib dipatuhi.
Memang diakui di kalangan ulama bahawa terdapat tujuan di sebalik setiap pensyariatan. Dan seperti yang dinyatakan di atas ada yang dapat difahami secara jelas dan ada yang menjadi rahsia Allah. Tujuan atau matlamat ini disebut sebagai maqasid.
Maqasid syariah adalah tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam setiap hukum atau sebahagian besar daripadanya.
Sesungguhnya Allah SWT apabila mensyariatkan hukum, sebenarnya adalah bertujuan memelihara kemaslahatan manusia dengan membuka ruang-ruang manfaat kepada mereka dan mengangkat kemudaratan.
Hukum taklifi
Apabila seseorang individu mencapai tahap mukalaf maka setiap amalan, perlakuan dan aktiviti yang dilakukannya akan terkena kepada salah satu dari lima hukum taklifi.
Mukalaf ialah seorang yang telah mencukupi syarat untuk diberikan taklif syarak (tuntutan dan kewajipan syarak).
Orang yang mukalaf wajib mematuhi ketetapan agama dan setiap perlakuannya tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama.
Syarat-syarat mukalaf ialah telah sampai umur (yakni baligh), memiliki akal yang waras, sampai dakwah kepadanya, sempurna pancaindera, khususnya penglihatan atau pendengaran.
Setiap perbuatan dan perlakuan mukalaf tertakluk dengan hukum yang ditetapkan oleh agama yang disebut sebagai hukum taklifi seperti berikut:
1. Wajib iaitu tuntutan syarak ke atas setiap mukalaf supaya melakukan sesuatu perbuatan dengan tuntutan secara pasti (jazam).
Jika tidak dilaksanakan, maka individu tersebut akan berdosa dan sebaliknya. Jika dia melaksanakannya, akan mendapat pahala seperti menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam.
2. Haram adalah tuntutan syarak ke atas mukalaf supaya meninggalkan sesuatu perkara dengan tuntutan secara pasti (jazam).
Jika ia dilakukan, maka individu tersebut mendapat dosa, dan sekiranya meninggalkannya akan mendapat pahala seperti meminum arak.
3. Makruh ialah apa-apa yang dituntut untuk meninggalkannya tidak secara ilzam atau sesuatu perkara yang mana lebih afdal (utama) ditinggalkan dari dilakukan.
Pembuatnya tidak berdosa, tetapi hanya dicela. Sesiapa yang meninggalkannya (tidak membuat perkara tersebut) akan mendapat pahala dan pujian daripada Allah SWT.
4. Sunat adalah apa-apa yang dituntut untuk melakukannya iaitu dengan memberikan ganjaran kepada individu yang melakukannya, dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya.
Ia memuji orang yang melakukannya dengan mengurniakan pahala, pada waktu yang sama tidak mencela dan tidak berdosa orang yang meninggalkannya seperti bersedekah.
5. Harus adalah sesuatu perkara yang diberikan pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya. Ia tidak akan mendatangkan sebarang pahala atau dosa.
Hukum-hukum syariah ini adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas mereka.
Kita perlu reda dan akur dengan segala syariat Allah dengan meyakini bahawa segala ketetapan Allah yang berupa peraturan dan undang-undang ini adalah demi menjamin kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.
Asas maqasid syariah
Objektif di sebalik penurunan atau penetapan syariah dapat dilihat sendiri menerusi dua sumber utama kepada umat Islam iaitu al-Quran dan hadis.
Ia bertitik-tolak dari firman Allah SWT yang menjelaskan motif kebangkitan junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui firman-Nya: Dan tidak Kami utuskanmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya’: 107).
Tidak dapat disangkal lagi bahawa perkataan ‘rahmat’ itu bermaksud kebaikan, kemaslahatan dan keharmonian.
Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah.
Maqasid syariah juga dapat dijejaki menerusi ayat-ayat al-Quran. Kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan.
Biasanya, ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya.
Sebagai contoh, dalam persoalan solat, Allah SWT jelas menyatakan matlamat dari pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan maksiat dan penderhakaan kepada Allah SWT dalam kehidupan mereka.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya solat itu boleh mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. (al-Ankabut: 45)
Demikian juga dalam persoalan puasa, Allah SWT menjelaskan objektif pensyariatannya kepada umat Nabi Muhammad dan umat nabi-nabi yang terdahulu adalah untuk membentuk jiwa yang bertaqwa kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, semoga kamu (sentiasa) bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Begitu juga dari sudut undang-undang, Islam menjelaskan objektif di sebalik pensyariatan qisas terhadap mereka yang melakukan pembunuhan secara sengaja. Firman Allah SWT: Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) kehidupan bagi kamu. (al-Baqarah: 179)
Dari sudut ekonomi pula, Islam sangat menggalakkan supaya umat Islam membudayakan derma, sedekah, hibah, wakaf dan sebagainya untuk berkongsi nikmat harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada mereka.
Harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan yang tidak berkemampuan untuk membina hidup mereka. Bahkan, Allah SWT mewajibkan umat Islam yang telah cukup syarat-syaratnya untuk membayar zakat kepada asnaf-asnaf.
Objektif pensyariatannya dinyatakan dalam firman Allah SWT: ….. Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu. (al-Hasyr: 7)
Pembahagian maqasid syariah
Maqasid syariah secara umumnya terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, dharuriyyat.
Ia adalah perkara-perkara yang termasuk dalam keperluan asasi yang mesti dipenuhi oleh setiap individu. Ia adalah kemaslahatan yang perlu dipenuhi untuk mendirikan kemaslahatan agama dan dunia.
Jika tiada maslahah ini, kemaslahatan dunia tidak akan bergerak dengan lancar dan akan hilang nikmat dan keselamatan di akhirat kelak.
Contohnya, seorang individu perlu mempunyai harta untuk meneruskan kehidupan. Justeru, Allah SWT menurunkan syariat yang berkaitan dengan persoalan memiliki harta, menggunakan dan membelanjakannya.
Terdapat lima perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu memelihara agama, memelihara diri/jiwa, memelihara keturunan, memelihara akal dan memelihara harta.
Contohnya, dalam bab memelihara agama, Allah SWT dan Nabi SAW memerintahkan umat Islam mempelajari Islam dan mengukuhkan akidah dan syariat seperti solat, puasa dan haji.
Kemudian, Allah SWT menurunkan syariat untuk menjaganya seperti suruhan berdakwah dan berjihad.
Keduanya, hajiyyat iaitu kemaslahatan yang bersifat keperluan dan hajat manusia.
Ia untuk menghilangkan kesulitan dan kesempitan yang boleh membawa kepada kesusahan hidup. Jika kemaslahatan ini tidak dapat dipenuhi ia boleh menyebabkan kesulitan dan kesusahan hidup.
Contohnya, Rasulullah SAW melarang dari menjual sesuatu yang tidak jelas (gharar) seperti ikan di lautan dan burung di udara.
Ini bertujuan menjamin kepentingan pembeli bagi mendapatkan haknya setelah membayar kepada penjual.
Bahagian yang ketiga adalah tahsiniyyat iaitu kemaslahatan dari aspek adat dan kesempurnaan akhlak. Jika hilang kemaslahatan tersebut, maka ia akan menyebabkan kehidupan menjadi buruk pada pandangan akal.
Sebagai contoh, seorang individu yang telah mempunyai kereta dibenarkan untuk memiliki sebuah lagi kereta sekiranya mempunyai keperluan dan kemampuan.
Pembahagian ini sengaja dijelaskan dan dipaparkan oleh para ulama untuk membantu umat Islam dalam menentukan prioriti dan keutamaan dalam melakukan ketaatan dalam hidup mereka.
READ MORE- Objektif MAQASID SYARIAH

Pengenalan Hukum Hudud



  بسم الله الرحمن الرحيم
HUKUMAN SEBAT DALAM ISLAM            
Anggapan setengah masyarakat hari ini terhadap hukuman sebat yang terkandung dalam hukum dan perundangan Islam telah dipengaruhi oleh keadaan hukuman sebat yang dilaksanakan di penjara-penjara sekarang. Lebih-lebih lagi dari segi alat pemukul (rotan) cara-cara pukulan dan kesakitan yang dialami oleh penerimanya dan berbagai-bagai lagi.             Dalam risalah yang kecil ini dijelaskan secara ringkas tentang hukuman sebat sebagaimana yang dikehendaki oleh ugama Islam terutamanya yang berhubung dengan alat sebat, cara-caranya dan anggota-anggota yang boleh dipukul (sebat).
Hukuman sebat yang dikenakan sebagai siksaan bagi kesalahan jenayah yang menyentuh maruah, akal dan kehormatan :
 واما الجلد فجعله عقوبة الجناية على الأعراض ، وعلى العقول ، وعلى الابضاع
 (Mengikut Istilah Fuqaha’)  Ianya bertujuan diantara lainnya. :  
1. Supaya sesiapa yang menerima hukuman itu atau melihatnya akan menjauhi jenayah itu sejauh-jauhnya.
2. Membersihkan masyarakat dari perbuatan tabiat yang keji dan hina.
3. Mengamankan masyarakat dari bahaya dan ancaman penjenayah
4. Untuk menjadi contoh teladan yang paling berguna untuk mengatasi perbuatan-perbuatan jenayah. 
 HUKUMAN SEBAT :
Hukuman sebat itu terbahagi kepada dua bahagian :
 1. Sebat dalam masalah hudud iaitu siksaan yang telah ditetapkan oleh Allah yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah Subhanahu wataala
.2. Sebat dalam masalah Ta’zir iaitu kesalahan-kesalahan yang dikenakan dengan satu atau lebih daripada siksaan-siksaan ta’zir, selain daripada siksaan hudud, qisas, diat dan kafarat, dan erti ta’zir itu ialah denda yang menjadi pengajaran.Syarak tidak menetapkan sesuatu siksaan atau hukuman tertentu bagi kesalahan Ta’zir dan cukup serta memadai dengan menetapkan kumpulan hukuman dari serendah-rendahnya kepada seberat-beratnya  dan sesudah itu diserahkan kepada pihak pemerintah untuk memilih dan menentukan mana-mana hukum-hukum yang sesuai mengikut suasana dan keadaan masalah itu sendiri.
JENIS-JENIS KESALAHAN  HUDUD.
Jenis-jenis kesalahan hudud yang telah ditetapkan hukuman sebat ialah :
1. ZINA.
Firman Allah Taala :
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat. (Surah An-Nur : 2)
Yang dimaksudkan dengan penzina perempuan dan penzina lelaki yang dikenakan hukuman sebat seratus kali itu ialah khusus untuk penzina yang belum kahwin
 (Ghaira Muhsin) Ertinya yang belum merasai persetubuhan halal, iaitu dengan cara berkahwin, adapun penzina yang telah berkahwin (Muhsin) hukumnya ialah rejam. Ini adalah berdasarkan kepada hadis berikut : 
عن أبي هريرة قال : اتى رجل رسول الله (ص) وهو في المسجد فناداه فقال يارسول الله اني زنيت فاعرض عنه حتى ردد عليه أربع مرات فلما شهد على نفسه أربع شهادات دعاه النبي (ص) فقال : ابك جنون ؟قال : لا قال : فهل أحصنت ؟ قال نعم. فقال النبي (ص) اذهبوا فارجموه .
Maksudnya : Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah SAW. semasa baginda berada di dalam masjid lalu beliau memanggil Rasulullah seraya berkata : Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina, maka Rasulullah berpaling daripadanya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali. Maka apabila lelaki berkenaan telah membuat pengakuan ke atas dirinya sebanyak empat kali Rasulullah SAW. pun memanggilnya lalu bersabda : Adakah engkau gila ? Jawab lelaki itu : Tidak. Nabi bersabda lagi : Adakah engkau telah kahwin ? Jawab lelaki itu : Ya. Maka Nabi bersabda : Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam. (Muttafaq ‘Alaih)
2. QAZAF (MENUDUH ZINA)
Firman Allah : وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً  
Maksudnya: Orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat. (Surah An-Nur : 4)
Mengikut kaedah dalam perundangan Islam bahawa sesiapa yang menuduh seseorang dengan apa jua perbuatan yang haram, tertanggung ke atasnya (wajib) membuktikan kebenarannya. Dan jika gagal atau enggan hendaklah dikenakan siksaan. Melemparkan tuduhan zina ke atas seseorang adalah perbuatan yang menyentuh maruah dan kehormatan seseorang. Sangat berat untuk ditanggung oleh mana-mana orang yang tidak bersalah. Sangat banyak akibat yang timbul dari sesuatu tuduhan zina yang melulu ke atas seseorang. Perbuatan itu akan melahirkan kemarahan, persengketaan serta meruntuhkan rumahtangga dan masyarakat. Anak-anak yang lahir dari seseorang yang tertuduh zina akan menjadi mangsa. Kerukunan dan kebahagiaan suami isteri akan roboh dan hancur berkecai.Oleh itu amat wajar orang yang membuat tuduhan palsu itu dihukum sebat dengan lapan puluh kali sebat. 
   مدمن الخمر كعابد وثن
Ertinya : Orang yang ketagihan arak itu adalah seperti penyembah berhala. Oleh kerana minum arak itu adalah dari perbuatan dan pekerjaan syaitan yang amat keji maka Rasulullah SAW telah menghukum ke atas peminum arak dengan empat puluh kali sebat sama ada peminum itu mabuk atau pun tidak.
KESALAHAN TA’ZIR
Firman Allah :وَاللاَّتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ 
MAKSUDNYA : Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). (Surah An-Nisa’ : 34)
Ayat tersebut merupakan hujjah dan dalil bagi ahli-ahli perundangan Islam bahawa hukuman sebat boleh dikenakan ke atas kesalahan-kesalahn ta’zir dan sebat merupakan hukuman utama dalam kesalahan-kesalahan ta’zir yang serius untuk memberi pengajaran yang tepat dan berkesan kepada penjenayah-penjenayah yang merbahaya yang sudah sebati dengan kesalahan-kesalahan itu. Keistimewaan hukuman ini ianya tidak membebankan pihak berkuasa (kerajaan) dan tidak menghalang pesalah sesudah menjalani hukuman dari berusaha menjalankan pekerjaan dan sebagainya dan tidak pula terpaksa meninggal dan membiarkan ahli keluarganya menempuh berbagai-bagi kesusahan dan keperitan hidup mencari nafkah dan sebagainya seperti mana dalam kes hukuman penjara kerana hukuman sebat dilaksanakan serta-merta setelah disabitkan kesalahannya dan sesudah itu dibebaskannya untuk membolehkan meraka menjalani kehidupan biasa bersama-sama keluarganya.
KADAR HUKUMAN SEBAT
Ulamak Syafie berpendapat bahawa hukuman sebat dalam kesalahan ta’zir tidak boleh melebihi sekurang-kurang hukuman hudud. Ertinya hukuman ta’zir dengan rotan “Sebat” ke atas seseorang pesalah hendaklah kurang daripada empat puluh kali sebat.
Sabda : من بلغ حدا في غير حد فهو من المعتدين
Maksudnya : Sesiapa yang melebihi had “Sekatan” dalam kesalahan bukan hudud maka ianya termasuk bersama-sama golongan orang yang melampaui batas.
ALAT SEBAT
Alat sebat tidaklah dalam satu jenis dan satu bentuk sahaja sebat bolehlah dijalankan dengan menggunakan rotan atau pelepah tamar atau ranting kayu ataupun hujung kain bahawa untuk menyebat peminum arak maka sudah cukup dan tercapai maksudnya dengan menggunakan hujung kain atau pelepah tamar.Sekiranya digunakan rotan dan sebagainya maka itu hendaklah sederhana ukurannya jangan terlalu muda atau terlalu tua dan tidak yang berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya supaya tidak boleh mencederakan atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah. Ini kerana tujuan yang sebenar hukuman sebat bukan hendak membinasakan pesalah tetapi bertujuan mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya.
روى مالك عن زيد بن أسلم أن رجلا اعترف على نفسه بالزنى على عهد رسول الله (ص) ، فدعاله رسول الله (ص) بسوط ، فاتي بسوط مكسور ، فقال : “فوق هذا ” فاتي جديد لم تقع ثمرته ، فقال : “دون هذا” فاتي بسوط قد ركب به ولان فأمر به رسول الله (ص) فجلد ..
Maksudnya : Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya, seorang lelaki telah mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW maka Rasulullah meminta sebatang tongkat untuk disebat lelaki itu, apabila tongkat yang dikehendaki dikemukakan kepada baginda Rasulullah SAW. didapati tongkat itu pecah-pecah, lalu baginda minta tongkat yang lain, apabila tongkat yang kedua dibawa kepadanya didapati pula tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong, Rasulullah SAW menolaknya lagi dan meminta tongkat yang sangat sederhana yang tidak keras, Rasulullah SAW menerimanya dan memerintahkan supaya disebat dengannya.  
CARA MELAKSANAKAN SEBAT
Ketika melaksanakan hukuman sebat hendaklah dengan cara sebatan yang sederhana. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangannya sehingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkatan ia tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya.
ANGGOTA-ANGGOTA YANG BOLEH DIPUKUL
Pukulan hendaklah diatur supaya kena merata-merata anggota tubuh badan pesalah itu kecuali muka, kepala dan dada ditegah sama sekali  memukulnya dan tidaklah boleh disebat hanya setempat sahaja.
KEADAAN PESALAH
Ketika menjalani hukuman, pesalah lelaki dikehendaki berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk dan tidak boleh dilucutkan pakaian biasa mereka yang menutup aurat seperti baju, seluar, kain sarung dan sebagainya. Dikecualikan pakaian-pakain yang tebal atau beralas yang boleh menghalang dari rasa sakit yang menjadi matlamat utama dan terpenting dalam hukuman sebat dan jika mereka berpakaian demikian “tebal” hendaklah diganti dengan pakaian yang nipis “sederhana”.
PESALAH MENGANDUNG
Dan jika pesalah mengandung hendaklah ditunggu sehingga melahirkan anak sama ada anak kandungan itu dari perbuatan zina atau tidak dan sembuh dari sakit beranak serta suci dari darah nifas dan tenaganya sudah pulih. Ini berdasarkan kepada hadis berikut :
عن علي رضي الله عنه أنه قال : أن امة لرسول الله (ص) زنت فامرني أن أجلدها فاذا هي حديته عهد بنفاس فخشيت ان انا جلدتها ان اقتلها فذكرت ذلك لرسول الله (ص) فقال : دعها حتى ينقطع عنها الدم ثم أقم عليها الحد
Maksudnya : Dari Sayyidina Ali RA bahawa beliau berkata : Bahawa seorang Amah ‘Hamba’ Rasulullah SAW telah berzina maka Rasulullah SAW telah mengarahkan kepadaku supaya aku jalankan hukuman sebat ke atasnya sedangkan ianya masih baru melahirkan anak, maka aku bimbang jika aku jalankan sebat ke atasnya akan membunuhnya, lalu aku beritahu keadaan itu kepada Rasulullah SAW , maka sabda Rasulullah “Biarlah dahulu dia sehingga sembuh dari sakit beranaknya kemudian boleh sesudah itu kamu jalankan hukuman ke atasnya”.
PESALAH SAKIT
Jika didapati pesalah dalam keadaan sakit dan penyakitnya ada harapan untuk sembuh maka hendaklah ditunggu sehingga dia betul-betul sembuh kerana jika dijalankan juga semasa pesalah itu sedang sakit akan bertambah berat penyakitnya dan mungkin boleh membinasakannya. Sebaliknya jika penyakitnya tidak ada harapan langsung untuk sembuh bolehlah dijalankan hukuman sebat serta-merta tanpa menunggu dan membuang masa lagi tetapi dengan satu syarat, bahawa rotan yang digunakan tidak akan membinasakannya. Oleh itu hendaklah menggunakan ranting kayu atau rotan yang kecil atau pun pelepah tamar yang kecil dan jika ukuran ini juga dibimbang akan membawa maut kepadanya maka bolehlah dikumpulkan seratus ranting kayu atau seumpamanya dan diikat dalam satu ikatan dan disebat dengannya satu kali. Cara begini pernah disuruh oleh Rasulullah SAW supaya dilakukan ke atas seseorang lelaki yang berzina yang sakit berat tidak mempunyai harapan untuk sembuh.
روى من أن رسول الله (ص) امر بضرب رجل مرض حتى صنى ضربة واحدة شمراخ لانه زنى
Maksudnya : Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang sakit merana dengan satu pukulan dengan seratus mayang tamar yang diikat “seikat” kerana lelaki itu telah melakukan perbuatan zina.
Ini kerana pesalah yang sakit merana tidak mempunyai harapan untuk sembuh sama ada dibiarkan tanpa dijalankan hukuman sebat kerana penyakitnya atau dilaksanakan sepenuhnya, maka sudah pasti jika dilaksanakan sepenuhnya akan membawa maut kepadanya dan di dalam keadaan begini diambil jalan, tengah iaitu disebat satu kali dengan seratus mayang tamar seumpamanya yang diikat dengan satu ikatan sahaja.
Firman Allah : وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثًا فَاضْرِبْ بِهِ وَلاَ تَحْنَثْ
Maksudnya : Dan ambillah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah dengannya dan janganlah engkau menyalahi sumpahmu itu. (Surah Sod : 44)
Dengan cara yang demikian adalah lebih baik dari biarkan tanpa menjalani hukuman atau dibunuh pesalah yang sakit yang tidak sampai kepada hukuman yang wajib dibunuh.
PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT DIHENTI ?
Hukuman sebat dihenti dan tidak boleh dilaksanakan apabila timbul dan berbangkit sesuatu yang boleh menggugurkan hukuman hudud iaitu :
1.       Apabila pesalah menarik balik pengakuannya sebelum dilaksanakan hukuman jika hukuman sebat kerana zina dijatuhkan berikutan pengakuannya samada pengakuannya itu dibuat secara langsung atau tidak.
2.       Apabila saksi-saksi mengubah pendirian dan menarik balik kesaksian mereka sebelum dilaksanakan hukuman samada secara beramai-ramai atau sebahagian darinya sekiranya bilangan saksi yang tinggal kurang dari empat orang.

 MASA DAN TEMPAT MELAKSANAKAN HUKUMANT
idak boleh dijalankan hukuman sebat dalam masa dan keadaan cuaca yang sangat panas atau terlalu sejuk jika dibimbang boleh membawa kebinasaan kepada pesalah dan bagi kesalahan hudud adalah dikehendaki supaya dijalankan hukuman sebat di hadapan orang-orang mukmin.
Firman Allah :وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Dan hendaklah pelaksaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (Surah An-Nur : 2)
Yang dimaksudkan dengan sekumpulan itu mengikut pendapat Mujahid “Seorang lelaki dan ke atasnya sehingga sampai kepada seribu orang.Manakala Ibnu Zaid pula berkata “Bahawa tak dapat tidak mesti dihadiri sekurang-kurangnya oleh empat orang dari kalangan orang-orang yang beriman sebagai qias dengan empat orang saksi dalam kes zina. Dan pendapat Ibnu Zaid ini adalah selaras dan sama dengan pendapat Imam Malik dan Imam Syafie.
Akhirnya dengan terlaksana hukuman sebat tercapailah kebaikan dan kepentingan umum (orang ramai) kerana Islam memandang kebaikan dan muslahat orang ramai itu lebih utama dari maslahat perseorangan dan dengan itu juga terhindarlah kerosakan , keruntuhan moral dan sebagainya dan seterusnya tercapailah kemuliaan dan kebahagian serta sentiasa mendapat Inayah, rahmat dan pertolongan Allah.
Amin.Sekian

READ MORE- Pengenalan Hukum Hudud

Saturday, 24 September 2011

Apabila Mengahwini Wanita Dalam Idah





Soalan: 
Saya telah berkahwin dengan seorang gadis warga asing pada awal tahun 2011, kehidupan kami bahagia  tanpa ada sebarang konflik yang besar.

Cuma situasinya sekarang, baru-baru ini saya baru mendapat tahu bahawa isteri saya itu sebenarnya berstatus janda dan ketika kami bernikah dahulu, rupa-rupanya dia masih dalam idah dengan suami pertamanya. Saya agak tertekan sekarang memandangkan ada yang memberitahu bahawa pernikahan saya itu tidak sah di sisi syarak. Saya sebenarnya tidak tahu langsung bahawa dia sedang dalam idah kerana selama ini dia mendakwa bahawa dia belum pernah berkahwin.

Jika pernikahan saya itu salah di sisi syarak, apa hukum persetubuhan yang berlaku antara kami selama ini? Dari sudut prosedur undang-undang, apa yang perlu saya lakukan?



Jawapan :


Ya, dukacita saya maklumkan bahawa perkahwinan dengan perempuan yang masih dalam idah termasuk dalam kategori perkahwinan yang tidak sah, sama ada idah tersebut disebabkan kematian atau pun idah talak rajii.

Ini kerana bekas suami perempuan itu masih mempunyai hak untuk merujuk kembali dengan bekas isterinya itu. (Abd al-Rahman al-Adawi, al-Mufid fi al-Fiqh al-Islami: Ahkam al-Zawaj)

Larangan ini jelas dapat dilihat dalam ayat 24 daripada surah al-Nisa' yang bermaksud: "Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang bersuami, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) sebagai suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu."

Hikmah Larangan Allah


Antara hikmah syarak melarang perkahwinan dengan perempuan yang berada dalam idah adalah bagi mengenal pasti adakah rahim perempuan itu benar-benar bersih daripada benih suami terdahulu. Jika tidak dapat dipastikan rahimnya benar-benar sudah bersih daripada benih suami terdahulu, kemudian berlaku perkahwinan yang kedua pula, ia akan menyebabkan berlaku percampuran benih dan keturunan. Larangan berkahwin dengan perempuan yang masih berada dalam idah bertujuan menjaga hak suami yang terdahulu. (Abd. al-Karim Zaydan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bayt al-Muslimin fi al-Shariah al-Islamiyyah, jil 9, hlm. 197)

Justeru, mana-mana lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan yang masih dalam idah suaminya, dalam keadaan dia mengetahui perempuan yang dikahwininya itu masih dalam idah, maka akad yang dilangsungkannya itu adalah batal. Suami tidak dibenarkan bersetubuh dengan perempuan yang dikahwininya itu. Perempuan yang dikahwininya itu juga tidak berhak mendapatkan nafkah, mahar dan juga tidak wajib menjalani idah. Selain itu, isteri tersebut juga tidak terlibat dengan pengharaman musaharah (pengharaman berkahwin disebabkan wujud ikatan perkahwinan) dengan mana-mana lelaki daripada kalangan keluarga suami.

Namun, saya melihat dalam kes ini, saudara langsung tidak mengetahui isteri saudara adalah seorang janda. Justeru, jika benar-benar saudara tidak mengetahuinya, maka saudara boleh dikira sebagai jahil. Mana-mana orang yang melakukan pernikahan sebegini dalam keadaan jahil, maka akadnya adalah fasid (rosak).

Apabila Berlaku Persetubuhan


Menurut Imam Abu Hanifah, dua orang muridnya (iaitu Abu Yusuf dan Muhamad bin Hassan) dan juga Imam al-Syafi'i, apabila berlaku persetubuhan, maka pasangan tersebut wajib dipisahkan sehingga selesai idah perempuan itu dengan suami pertamanya terlebih dahulu. Selepas itu, barulah halal berkahwin dengan lelaki yang baru tersebut. (Muhammad Salam Madkur, al-Wajiz li Ahkam al-Usrah fi al-Islam)

Bagi majoriti ulama, persetubuhan yang telah berlaku itu tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi mengharamkan semula perkahwinan dengan perempuan tersebut, setelah mereka dipisahkan dan setelah habis idah perempuan itu dengan suami pertamanya. (Dr. Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, hlm. 147-148)

Ulama Mazhab Syafi'i (Muhammad al-Zuhayli, al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafi'i, jil 4, hlm. 260) menghukumkan bahawa wajib bagi seseorang perempuan menjalani idah apabila berlaku pembubaran perkahwinan jika dia telah disetubuhi sama ada:

1. Persetubuhan yang dilakukan sebelumnya melibatkan perkahwinan yang sah, fasid atau persetubuhan syubhah.

2. Persetubuhan itu berlaku pada masa yang halal iaitu suci atau haram iaitu ketika sedang haid dan berihram (haji atau umrah).

3. Pembubaran itu berlaku dengan cara talak atau fasakh disebabkan kecacatan atau li'an.

4. Talak yang berlaku itu merupakan talak rajii mahupun bain.

5. Lelaki yang menyetubuhi itu sudah baligh ataupun belum, sihat ataupun gila, sukarela ataupun terpaksa, sekalipun melibatkan lelaki yang telah dikasi alat kelaminnya.

6. Perempuan yang disetubuhi itu hamil ataupun tidak.

7. Perempuan yang disetubuhi itu sudah dewasa ataupun masih kanak-kanak.

Perkara ini bersesuaian dengan ayat 228 surah al-Baqarah dan juga dalam ayat 49 surah al-Ahzab. Ayat-ayat ini menjelaskan mana-mana perempuan yang diceraikan dan mereka belum pernah disetubuhi, maka tidak perlu menjalani apa-apa idah. Manakala bagi yang telah disetubuhi, maka hendaklah menjalani idah tanpa mengira apa bentuk pembubaran yang berlaku dalam perkahwinannya.

Ulama Mazhab Syafi'i juga menghukumkan seseorang perempuan perlu menjalani dua idah jika melibatkan dua bentuk perkahwinan fasid dan dalam setiap perkahwinan itu, pihak mahkamah telah memisahkannya daripada suaminya dan dalam setiap perkahwinan itu pula berlaku persetubuhan dengan suami. (Abu Yahya Zakaria al-Ansari, Fath al-Wahhab bi Sharh Minhaj al-Tullab, jil. 2 hlm. 106)

Kesimpulan dan Solusi


Islam menggalakkan perkahwinan, namun bukan secara sewenang-wenangnya. Perkahwinan seorang lelaki dengan seorang perempuan yang masih berada dalam idah suaminya yang bukan talak bain kubra, ialah perkahwinan yang tidak sah. Ia dikira sebagai perkahwinan yang fasid kerana calon isteri masih ada halangan untuk melangsungkan perkahwinan iaitu masih dalam idah perkahwinan terdahulu dan sepatutnya menghabiskan idah tersebut terlebih dahulu.

Pasangan tersebut mesti berpisah serta-merta jika mereka mengetahuinya ataupun dibubarkan perkahwinan oleh mahkamah jika mereka tidak mengetahuinya ataupun jika enggan berpisah.

Setelah berpisah, isteri dikehendaki menjalani idah sebanyak tiga kali suci jika telah berlaku persetubuhan dalam perkahwinan itu. Persetubuhan tersebut tidak dikira sebagai zina sebaliknya lebih berbentuk persetubuhan syubhah.

Jika berlaku dua kali perkahwinan fasid, dan dalam setiap perkahwinan itu isteri disetubuhi oleh suaminya, isteri wajib menjalani dua bentuk idah; iaitu idah suami yang pertama dan setelah selesai idah suami yang pertama, memulakan pula idah suami yang kedua.

Saranan dan Pengajaran


Berdasarkan tatacara perundangan, kebiasaannya saudara perlu menjalani proses berikut;

1. Mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sama ada perkahwinan terdahulu fasid ataupun tidak.

2. Jika perkahwinan tersebut adalah fasid, mahkamah akan memerintahkan pasangan terlibat berpisah serta merta.

3. Setelah itu mahkamah akan mengesahkan sama ada berlaku persetubuhan dalam perkahwinan itu ataupun tidak.

4. Jika berlaku persetubuhan, mahkamah akan memerintahkan pihak perempuan menjalani idah sebanyak tiga kali suci daripada tarikh sabitan kes tidak sah perkahwinan.

5. Mahkamah akan memerintahkan akad perkahwinan yang tidak sah itu dilaporkan kepada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Daerah yang berkenaan.


READ MORE- Apabila Mengahwini Wanita Dalam Idah

CATATAN POPULAR