Soalan:
Saya telah berkahwin dengan seorang gadis warga asing pada awal tahun 2011, kehidupan kami bahagia tanpa ada sebarang konflik yang besar.
Cuma situasinya sekarang, baru-baru ini saya baru mendapat tahu bahawa isteri saya itu sebenarnya berstatus janda dan ketika kami bernikah dahulu, rupa-rupanya dia masih dalam idah dengan suami pertamanya. Saya agak tertekan sekarang memandangkan ada yang memberitahu bahawa pernikahan saya itu tidak sah di sisi syarak. Saya sebenarnya tidak tahu langsung bahawa dia sedang dalam idah kerana selama ini dia mendakwa bahawa dia belum pernah berkahwin.
Jika pernikahan saya itu salah di sisi syarak, apa hukum persetubuhan yang berlaku antara kami selama ini? Dari sudut prosedur undang-undang, apa yang perlu saya lakukan?
Jawapan :
Ya, dukacita saya maklumkan bahawa perkahwinan dengan perempuan yang masih dalam idah termasuk dalam kategori perkahwinan yang tidak sah, sama ada idah tersebut disebabkan kematian atau pun idah talak rajii.
Ini kerana bekas suami perempuan itu masih mempunyai hak untuk merujuk kembali dengan bekas isterinya itu. (Abd al-Rahman al-Adawi, al-Mufid fi al-Fiqh al-Islami: Ahkam al-Zawaj)
Larangan ini jelas dapat dilihat dalam ayat 24 daripada surah al-Nisa' yang bermaksud: "Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang bersuami, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) sebagai suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu."
Hikmah Larangan Allah
Antara hikmah syarak melarang perkahwinan dengan perempuan yang berada dalam idah adalah bagi mengenal pasti adakah rahim perempuan itu benar-benar bersih daripada benih suami terdahulu. Jika tidak dapat dipastikan rahimnya benar-benar sudah bersih daripada benih suami terdahulu, kemudian berlaku perkahwinan yang kedua pula, ia akan menyebabkan berlaku percampuran benih dan keturunan. Larangan berkahwin dengan perempuan yang masih berada dalam idah bertujuan menjaga hak suami yang terdahulu. (Abd. al-Karim Zaydan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bayt al-Muslimin fi al-Shariah al-Islamiyyah, jil 9, hlm. 197)
Justeru, mana-mana lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan yang masih dalam idah suaminya, dalam keadaan dia mengetahui perempuan yang dikahwininya itu masih dalam idah, maka akad yang dilangsungkannya itu adalah batal. Suami tidak dibenarkan bersetubuh dengan perempuan yang dikahwininya itu. Perempuan yang dikahwininya itu juga tidak berhak mendapatkan nafkah, mahar dan juga tidak wajib menjalani idah. Selain itu, isteri tersebut juga tidak terlibat dengan pengharaman musaharah (pengharaman berkahwin disebabkan wujud ikatan perkahwinan) dengan mana-mana lelaki daripada kalangan keluarga suami.
Namun, saya melihat dalam kes ini, saudara langsung tidak mengetahui isteri saudara adalah seorang janda. Justeru, jika benar-benar saudara tidak mengetahuinya, maka saudara boleh dikira sebagai jahil. Mana-mana orang yang melakukan pernikahan sebegini dalam keadaan jahil, maka akadnya adalah fasid (rosak).
Apabila Berlaku Persetubuhan
Menurut Imam Abu Hanifah, dua orang muridnya (iaitu Abu Yusuf dan Muhamad bin Hassan) dan juga Imam al-Syafi'i, apabila berlaku persetubuhan, maka pasangan tersebut wajib dipisahkan sehingga selesai idah perempuan itu dengan suami pertamanya terlebih dahulu. Selepas itu, barulah halal berkahwin dengan lelaki yang baru tersebut. (Muhammad Salam Madkur, al-Wajiz li Ahkam al-Usrah fi al-Islam)
Bagi majoriti ulama, persetubuhan yang telah berlaku itu tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi mengharamkan semula perkahwinan dengan perempuan tersebut, setelah mereka dipisahkan dan setelah habis idah perempuan itu dengan suami pertamanya. (Dr. Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, hlm. 147-148)
Ulama Mazhab Syafi'i (Muhammad al-Zuhayli, al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafi'i, jil 4, hlm. 260) menghukumkan bahawa wajib bagi seseorang perempuan menjalani idah apabila berlaku pembubaran perkahwinan jika dia telah disetubuhi sama ada:
1. Persetubuhan yang dilakukan sebelumnya melibatkan perkahwinan yang sah, fasid atau persetubuhan syubhah.
2. Persetubuhan itu berlaku pada masa yang halal iaitu suci atau haram iaitu ketika sedang haid dan berihram (haji atau umrah).
3. Pembubaran itu berlaku dengan cara talak atau fasakh disebabkan kecacatan atau li'an.
4. Talak yang berlaku itu merupakan talak rajii mahupun bain.
5. Lelaki yang menyetubuhi itu sudah baligh ataupun belum, sihat ataupun gila, sukarela ataupun terpaksa, sekalipun melibatkan lelaki yang telah dikasi alat kelaminnya.
6. Perempuan yang disetubuhi itu hamil ataupun tidak.
7. Perempuan yang disetubuhi itu sudah dewasa ataupun masih kanak-kanak.
Perkara ini bersesuaian dengan ayat 228 surah al-Baqarah dan juga dalam ayat 49 surah al-Ahzab. Ayat-ayat ini menjelaskan mana-mana perempuan yang diceraikan dan mereka belum pernah disetubuhi, maka tidak perlu menjalani apa-apa idah. Manakala bagi yang telah disetubuhi, maka hendaklah menjalani idah tanpa mengira apa bentuk pembubaran yang berlaku dalam perkahwinannya.
Ulama Mazhab Syafi'i juga menghukumkan seseorang perempuan perlu menjalani dua idah jika melibatkan dua bentuk perkahwinan fasid dan dalam setiap perkahwinan itu, pihak mahkamah telah memisahkannya daripada suaminya dan dalam setiap perkahwinan itu pula berlaku persetubuhan dengan suami. (Abu Yahya Zakaria al-Ansari, Fath al-Wahhab bi Sharh Minhaj al-Tullab, jil. 2 hlm. 106)
Kesimpulan dan Solusi
Islam menggalakkan perkahwinan, namun bukan secara sewenang-wenangnya. Perkahwinan seorang lelaki dengan seorang perempuan yang masih berada dalam idah suaminya yang bukan talak bain kubra, ialah perkahwinan yang tidak sah. Ia dikira sebagai perkahwinan yang fasid kerana calon isteri masih ada halangan untuk melangsungkan perkahwinan iaitu masih dalam idah perkahwinan terdahulu dan sepatutnya menghabiskan idah tersebut terlebih dahulu.
Pasangan tersebut mesti berpisah serta-merta jika mereka mengetahuinya ataupun dibubarkan perkahwinan oleh mahkamah jika mereka tidak mengetahuinya ataupun jika enggan berpisah.
Setelah berpisah, isteri dikehendaki menjalani idah sebanyak tiga kali suci jika telah berlaku persetubuhan dalam perkahwinan itu. Persetubuhan tersebut tidak dikira sebagai zina sebaliknya lebih berbentuk persetubuhan syubhah.
Jika berlaku dua kali perkahwinan fasid, dan dalam setiap perkahwinan itu isteri disetubuhi oleh suaminya, isteri wajib menjalani dua bentuk idah; iaitu idah suami yang pertama dan setelah selesai idah suami yang pertama, memulakan pula idah suami yang kedua.
Saranan dan Pengajaran
Berdasarkan tatacara perundangan, kebiasaannya saudara perlu menjalani proses berikut;
1. Mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sama ada perkahwinan terdahulu fasid ataupun tidak.
2. Jika perkahwinan tersebut adalah fasid, mahkamah akan memerintahkan pasangan terlibat berpisah serta merta.
3. Setelah itu mahkamah akan mengesahkan sama ada berlaku persetubuhan dalam perkahwinan itu ataupun tidak.
4. Jika berlaku persetubuhan, mahkamah akan memerintahkan pihak perempuan menjalani idah sebanyak tiga kali suci daripada tarikh sabitan kes tidak sah perkahwinan.
5. Mahkamah akan memerintahkan akad perkahwinan yang tidak sah itu dilaporkan kepada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Daerah yang berkenaan.
No comments:
Post a Comment