Saturday 24 September 2011

Kegetiran Sebuah PENGHIJRAHAN



"Ustazah, kenapa orang selalu pandang sinis pada saya? Saya tahulah saya dulu jahat, tapi sekarang saya ikhlas mahu berubah." seorang pelajar meluahkan rasa hati kepada saya melalui telefon pada hari ini (24/9/2011) pada pukul 12.35 tengahari tadi. Suaranya kedengaran seperti menangis.



"Kenapa? Cuba berterus terang." Pinta saya ingin tahu

"Saya pelik, ustazah. Sejak mengenali ustazah, saya berazam untuk berubah menjadi pelajar yang baik. Tetapi masih ada cikgu dan sebahagian kawan yang memandang sinis pada saya." balasnya sendiri.

"Sabar. Hendak berubah memang ada ujiannya. Paling penting, kamu sendiri kena kuat. Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan ingin berubah ke arah kebaikan."

Inilah antara dilema yang dialami oleh pelajar yang dahulunya nakal. Hasratnya untuk berhijrah dipandang sinis oleh sebahagian guru dan teman sekeliling. Sering kali menerima perlian dan ejekan. Bukan sekadar sindiran rakan-rakan dan rasa tidak percaya oleh orang sekeliling, malah rasa curiga yang sering ditujah oleh segelintir guru menjadi tamparan paling hebat. Guru yang diharapkan menyuntik sokongan, sebaliknya duri prasangka pula ditusukkan.

Bila berubah, dikatakan "buang tabiat" atau ingin "berlakon". Situasi ini akhirnya menjerat remaja untuk meneruskan perubahan. Berhijrah itu susah, tetapi lebih susah untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap remaja yang ingin berubah. Hal ini menyebabkan sebahagian remaja dipalit serik untuk berhijrah kerana tidak tahan dengan cercaan yang dilemparkan.

Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Seharusnya seseorang yang ingin membetulkan kesilapan dibantu dan diberikan kekuatan, bukan merobohkan cita-citanya yang baru hendak teguh itu.

Sekiranya seseorang pelajar tersepit dalam kondisi seperti ini, teruskan niat dan tekad untuk berubah. Jangan fikirkan kata-kata orang kepada kita, tetapi fikirkan apa kata Allah kepada kita.

Antara perkara yang boleh diamalkan untuk kekal berubah adalah mencari teman yang baik agamanya. Teman yang soleh mendorong ke taman syurga, sementara teman yang fasiq menjerumuskan ke gaung neraka. Teman yang baik akan membantu, manakala teman yang buruk menambahkan buntu. Jadikanlah orang-orang soleh itu sebagai teman paling akrab yang dapat sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan, dan menegur kita andai melakukan kesilapan. Mereka jugalah yang sekali gus akan berperanan dalam menetapkan hati kita di jalan kebenaran.

Daripada riwayat Muslim, Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya perumpamaan sahabat yang soleh dan sahabat yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi - boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi - boleh jadi sama ada dia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi)."

Jika ingin berubah, kita harus yakin pada diri bahawa kita mampu untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik. Caranya adalah dengan membina gerak kerja amal takwa. Seseorang yang betakwa akan memelihara hak-hak Allah, dan Allah jualah yang akan mempertahankan kemuliaan dan hak dirinya kelak.

Seterusnya, berusahalah dalami ilmu agama. ilmu agama adalah tunjang dalam kehidupan Muslim. Agama mengajar kita menjadi individu yang baik dan berperibadi cemerlang. Ilmu juga adalah hikmah.

Daripada riwayat Tirmizi, Rasullullah s.a.w. berpesan menerusi sabdanya yang bermaksud, "Hikmah adalah barang yang hilang daripada orang Mukmin. Maka, di mana saja dia menemuinya, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya."

Doa adalah senjata orang Mukmin. Justeru, berdoalah kepada Allah untuk terus diberikan kekuatan agar tekal berubah kepada kebaikan. Mohonlah kepada Allah supaya perubahan yang dilakukan itu kekal sehingga ke akhir hayat.

Ingatlah, apabila kita benar-benar komited untuk berubah, Allah sendiri yang akan memperlihatkan "kebenaran". Andai kita sudah benar-benar berubah dan tidak lagi terjebak dengan perlakuan tidak bermoral. Dia akan "membuktikannya". Itu tugas Dia. Tugas kita adalah berusaha untuk menjadi yang terbaik. Setiap orang secara fitrahnya sukakan kebaikan. Justeru, perubahan kita ke arah kebaikan kelak akan disenangi oleh mereka di sekeliling kita, malahan makhluk di langit juga. Bersangka baiklah kepada Allah, nescaya Allah akan kurniakan kebaikan kepada kita.Amin..

No comments:

Post a Comment

CATATAN POPULAR