Thursday 7 June 2012

Meningkatkan Tumpuan



Assalamualaikum buat teman2 budiman,

Sudah lama saya meninggalkan kerjaya saya sebagai konselor, walaupun saya hanyalah seorang pelajar, tapi saya juga seorang konselor buat sahabat-sahabat pada satu ketika dahulu, bukan hanya sahabat tetapi orang-orang yang lebih dewasa dari saya sekalipun pernah berjumpa saya untuk menceritakan masalah beliau pada saya, saya sedar bahawa saya tidak layak menasihati atau memberi pandangan pada mereka kerana saya hanyalah seorang pelajar mentah satu ketika dahulu tetapi mereka telah memberi kepercayaan kepada saya untuk mendengarkan luahan-luahan mereka dan memberi peluang kepada saya untuk memberikan nasihat dan pandangan serta menyelesaikan masalah mereka walaupun masalah tersebut melibatkan hal-hal peribadi yang sepatutnya mereka tidak memberitahunya kepada saya atau orang lain,walaupun saya hanyalah seorang atau pelajar mentah atau juga dikenali sebagai seorang remaja yang berusia dalam lingkungan belasan tahun, mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk membantu mereka dan mendengar isi hati mereka.

Kali ini saya mendapat beberapa email dari adik-adik yang akan menghadapi PMR dan SPM pada tahun ini dan pada tahun hadapan, hebat! jaringan internet yang tidak mengira tahap umur seseorang itu untuk menggunakannya, namun perlu berhati-hati supaya tidak menyalahgunakannya, namun dalam perkongsian kali ini untuk membicarakan tentang internet mahupun karier saya satu ketika dahulu tetapi saya ingin menjawab pertanyaan mereka melalui email saya, pertanyaan yang mereka tinggalkan kepada saya adalah "Ustazah, macam mana ya untuk tingkatkan tumpuan ketika belajar? kami dah nak exam tapi masih belum dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran, bagaimana ya?" (salah satu soalan dari email)

baiklah, kali ini saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat yang mengunjungi blog saya kali ini dengan serba sedikit perkongsian bagaimana untuk meningkatkan tumpuan ketika belajar, perkongsian ini saya tulis berdasarkan pengetahuan yang sebelum ini saya pernah baca dari buku-buku, internet dan juga pengalaman saya berjumpa dan menemuramah pelajar-pelajar cemerlang yang sebelum ini berjaya mendapat keseluruhan A dalam peperiksaan.\

Baiklah, pernahkah anda mengalami situasi sebegini ; pada suatu petang, anda cukup bersemangat untuk melakukan ulangkaji. Buku-buku sudah disusun dan segala peralatan sudah disediakan. Meja belajar sudah pun bersih. Anda mula duduk dan mengulangkaji pelajaran. Tidak sampai 30 minit, tiba-tiba anda merasa tidak keruan. Jeritan dan ketawa adik-adikdi luar lebih menajam di dalam gegendang telinga, kereta yang lalu-lalang di hadapan jendela menarik perhatian anda setiap kali melintas. Idea-idea dalam buku "terbang" ke sana ke mari. Huruf-huruf kelihatan seperti terhuyung-hayang. Akhir sekali anda merasa bosan dan bangun menonton televisyen! Itu adalah salah satu contoh kes pelajar yang hilang tumpuan, begitu juga saya sendiri, pernah juga mengalami situasi sebegini.



Bagaimana untuk mengatasinya? TUJUH petua di bawah ini akan memberikan beberapa panduan ringkas untuk anda, saya dan juga buat adik yang bertanya.

1. Berfikiran positif

Anggapkan masa mengulang kaji pelajaran sebagai masa untuk mempelajari sesuatu, bukan untuk melaksanakan tugasan-tugasan sukar.Jika anda asyik memfokuskan fikiran kepada kesukaran dan kepayahan, otak anda akan menjadi penat sebelum anda bermula lagi. Bayangkan anda sedang mencuba keupayaan diri, belajar sesuatu yang baru, dan mempertingkatkan diri sendiri.

2. Jangan pedulikan kebisingan di sekeliling.

Anda tidak boleh mengelakkan kebisingan. Hanya tempat dan waktu tertentu sahaja anda boleh mendapatkannya, tetapi ia bukan mudah, jangan terlalu cerewet. Belajarlah untuk belajar di tempat yang "agak bising. Gunakan kaedah "Jangan jaga tepi kain orang" jika anda ingin "mengasingkan diri" daripada segala kebisingan itu.

3. Gunakan kaedah labah-labah.

Jika anda membaling segumpal kertas ke sarang labah-labah, ia akan mengesan satu bentuk gegaran lantas bergegas ke tempat itu. Apabila ia dapati hanya segumpal kertas, ia akan berpatah balik. Jika anda membaling kertas untuk kali kedua, labah-labah itu tidak akan bergegas lagi, kerana dia tahu jenis gegaran kertas yang tidak boleh dimakan itu (tak percaya anda boleh cuba lakukan pada labah-labah). Begitu juga dengan anda, jika anda sedang belajar di dalam perpustakaan, pasti ada orang yang lalu lalang dihadapan anda, atau membelek-belek buku atau berbisik-bisik. Cukuplah hanya sekali anda memandang kearah mereka, selepas itu, abaikan mereka, sama juga dalam situasi di atas (kereta yang lalu lalang dihadapan jendela). Jadilah seperti labah-labah yang tidak tertipu untuk kali kedua.

4. Pastikan semuanya ada di atas meja.

Buku, alat tulis dan peralatan yang diperlukan sudah tersedia sebelum anda memulakan ulang kaji anda. Jangan biarkan konsentrasi anda terganggu hanya semata-mata terlupa untuk membawa pemadam, pensel, atau kertas catatan, atau kalkulator. Cubalah untuk berada di meja belajar sekurang-kurangnya setengah jam sebelum anda bangun untuk melakukan perkara lain.

5. Lupakan yang lain, penuhkan otak anda dengan apa yang akan dipelajari.

Buat satu senarai soalan di dalam kepala anda tentang apa-apa yang anda ingin belajar kali ini. Timbulkan pertanyaan-pertanyaan yang mendesak akal supaya berfikir. Dengan ini otak akan sentiasa "melompat-lompat" dari satu idea ke satu idea yang lain.

6. Jangan tahan lapar.

Lapar boleh menghilangkan tumpuan anda tidak kira apa-apa jua keadaan anda. Kadangkala ada pelajar yang pergi ke sekolah atau memasuki dewan peperiksaan tanpa makan terlebih dahulu. Akhir sekali kelaparan merobek usus mereka dan tiada satu pun jawapan yang dia ingat. Usah diseksa perut anda yang sedang menyanyi itu. Luangkan sedikit masa untuk mengisi sehingga hilang kelaparan itu.

7. Buat senarai semakan hilang tumpuan.

Bunyinya agak menggelikan hati, tetapi ia penting untuk mengingatkan anda. Berapa anda telah hilang tumpuan. Bawalah satu kertas kecil, ditulis dengan tarikh dan masa, setiap kali anda hilang tumpuan, tandakan pada senarai semakan tersebut. Buat secara tetap dan berterusan sehingga anda benar-benar menyedari betapa banyak diri anda "tergelincir" dari landasan yang tepat.

Anda juga boleh belajar memberikan tumpuan dengan mengambil iktibar daripada kekusyukan solat lima waktu. Semasa solat, otak diajar untuk memberikan tumpuan dalam rukun-rukun yang diwajibkan. Teknik yang anda peroleh daripada itu boleh digunakan untuk mengingatkan tumpuan dan fokus anda terhadap ulang kaji anda. Akhir sekali selamat mencuba dan meningkatkan tumpuan ulang kaji anda.


"What you give, you get back"
(pesan buat diri saya sendiri juga)


3 comments:

  1. mumtaz!!ya ukhti
    satu pandangan yg cukup hebat yg bole ana katakan..syukran ats nasihat enti..^^

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah... syukur kepada Allah...:D terima kasih kerana sudi membaca entri ini...

    ReplyDelete
  3. Wow nice point....marilah jenguk blog saya mama aqil

    ReplyDelete

CATATAN POPULAR