Saturday, 18 February 2012

Seketika Bersamamu, Sahabat


Bersama sahabat - (Gambar hiasan)

Ku termenung di jendela
Menyulam angan-angan yang tak
mungkin kesampaian 
Oh tuhan.. betapa beratnya 
Dugaanmu ini
Jiwa ini merintih
Hati ini tidak tertahan lagi
Dengan ujian menimpa diri

30 Dis 2011
Benar-benar merentap
Ketabahanku
Benar-benar merentap
Kekuatanku
Yang pasti kau telah pergi
dan takkan kembali
Mengenalimu satu keindahan manis
Mendengar tawamu satu kebahagiaan
bagi diriku
Tapi, kini tiada lagi

Kau adalah sahabat sejati
Sesungguhnya kau sahabat yang baik
Cuma takdir tidak membenarkan
kita bersama lagi.
Pemergianmu membuat aku
menginsafi diri.
InsyaAllah
Doaku tidak akan putus untukmu
Kau akan ssentiasa di hati
Kini dan selamanya... :'(


Ku biar kalam berbicara
Menghurai maksudnya di jiwa
Agar mudah ku mengerti
Segala yang terjadi
Sudah suratan Ilahi

Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini

Aku telah pun sedaya
Tak melukai hatimu
Mungkin sudah suratan hidupku
Kasih yang lama terjalin
Berderai bagaikan kaca
Oh teman, maafkanlah diriku

Oh Tuhan
Tunjukkan ku jalan
Untuk menempuhi dugaan ini
Teman, maafkan jika ku melukaimu
Moga ikatan ukhwah yang dibina
Ke akhirnya

Aku tidak kan berdaya
Menahan hibanya rasa
Kau pergi meninggalkan diriku
Redhalah apa terjadi
Usahlah kau kesali
Mungkin ada rahmat yang tersembunyi





Terima kasih duhai sahabat... takkan aku lupakan kenangan kita bersama.. Doaku akan sentiasa mengiringimu duhai sahabatku...
semoga dikau aman di sana... 
Al-Fatihah..

irah_muslimah91@yahoo.com
-Permaidani Cintaku-

READ MORE- Seketika Bersamamu, Sahabat

Keutamaan Sedekah



Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Apabila seseorang anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkan untuk orang lain dan anak (lelaki atau perempuan) yang mendoakannya.: (HR. Muslim)


Apabila seseorang itu telah meninggal dunia, segala amal perbuatannya akan terputus dan tidak akan dikira lagi, kecualillah semasa hidup di dunia dahulu, dia seorang yang suka bersedekah serta seorang dermawan. Amalan ini amat berguna untuk dirinya walaupun dia telah meninggal dunia.

Begitu juga ketika semasa hidup seseorang itu mempunyai ilmu lalu diamalkan dan disebarkan pula kepada orang lain. ini juga dikira sedekah jariah sama ada dengan cara mengajarnya secara formal seperti di sekolah, masjid, surau dan majlis-majlis ilmu, atau juga menyampaikannya kepada ahli keluarganya, kawan-kawan, anak isteri, jiran tertangga atau apabila mereka bertamyakan mengenai sesuatu masalah.

Demikian juga sekiranya mempunyai anak-anak yang soleh, mereka akan sentiasa mendoakan kesenangan, kebahagiaan dan kerahmatan hidup kepada kedua-dua ibu dan bapa mereka sama ada ketika mereka masih hidup ataupun setelah mereka meninggal dunia. Oleh itu pembaca budiman semua, sentiasalah kita mengamalkan perkara yang baik dan mulia semasa masih hidup di dunia ini, dan perbanyakkan bersedekah walaupun sedikit, sedikit amat bermakna bagi yang memerlukan dan amat besar pahalanya disisi Allah SWT... Mari sama-sama kita dengar ceramah dan penerangan yang disampaikan oleh  YB Ustaz Haji Mohd Nassuruddin Daud..semoga Perkongsian ini memberi manfaat kepada semua pembaca dan pengunjung "Permaidani Cintaku" selamat mendengar... wallahua'lam

3 bekalan sebelum mati - Ust Nassuruddin Daud


kelebihan ilmu berbanding harta - Ust Nassuruddin Daud
READ MORE- Keutamaan Sedekah

Friday, 17 February 2012

Berkasih Sayang Kerana Allah

Bersama sahabat2 di Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan


Assalamualaikum buat teman2 yang dikasihi Allah s.w.t...

Kisah ini diriwayatkan oleh Rasullullah s.a.w sendiri.

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Baginda s.a.w. bahawa ada seorang lelaki yang ingin menziarahi sahabatnya yang menetap disebuah kampung yang lain, maka Allah s.w.t telah menghantar malaikat ke jalan yang dilaluinya untuk memerhatikan lelaki itu.

Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggu oleh malaikat itu, malaikat bertanya, "Kemana kamu ingin pergi?" Jawab lelaki itu jujur;"Aku ingin bertemu saudaraku di kampung ini." Malaikat bertanya lagi,"Adakah bagi kamu ada apa-apa nikmat yang akan kamu peroleh daripadanya?" Lelaki itu menjawab:"Tidak. Aku menziarahinya hanya kerana aku menyayangi kerana Allah." Berkata malaikat:"Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan Allah taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNYA." (Riwayat Muslim)

Orang yang ikhlas bersahabat kerana Allah tidak menaruh apa-apa kepentingan peribadi daripada hubungan persahabatan yang terbina. Bukanlah harta dan pangkat yang dicari walaupun sahabat mampu memberikan kelebihan seperti itu. Namun mereka yakin hakikat persahabatan yang baik itu hanya Allah yang mampu memberi ganjaran yang terbaik.

AJK 2012 (Politeknik Kota Bharu)

Buatmu sahabatku...

Pertemuan kita tanpa diduga,
tanpa mengenal antara satu sama lain,
tanpa ku sedari,
kita telah menjadi teman,
inilah suratan ilahi,
Namun....
Ku tetap berharap agar hubungan ini akan berkekalan,
kerana engkaulah sahabat sejatiku,
teman yang sentiasa berada disisiku,
sewaktu aku berduka ataupun bersuka ria,
yang sudi mendengar luahanku,
Di saat aku menghadapi masalah,
engkau menasihatiku dan memberiku kata-kata semangat,
tanpamu sahabat duniaku kosong,
TERIMA KASIH ku ucapkan kepadamu,
sahabatku......

wallahua'lam

UNIC - Kau kawan, sahabat dan teman
READ MORE- Berkasih Sayang Kerana Allah

Friday, 23 December 2011

Air kopi Dan Donut (Transit Hidup)

                      


Assalamualaikum teman-teman seperjuangan, Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana Allah masih mengizinkan saya untuk terus melihat dunia ini dan terus meng'update' blog ini untuk perkongsian bersama, Alhamdulillah dan bersyukur juga hari ini kerana telah berlaku satu peristiwa yang amat bermakna dalam hidup saya dimana mungkin pembaca-pembaca dan teman-teman serta orang lain tidak pernah merasai apa yang saya rasai hari ini, tapi bukan peristiwa tersebut yang ingin saya kongsi, biarlah peristiwa ini terus berada dalam sanubari ini dan biarlah Allah sahaja yang menilai segalanya....

Teringat kata-kata seorang sahabat seperjuangan saya yang sebelum ini selalu berkongsi bersama-sama beberapa perkongsian serta selalu membantu dan memberi nasihat kepada saya tentang permasalahan yang saya hadapi, katanya "hidup ini di ibaratkan seperti air Kopi dan kuih Donut". Kenapa dengan air Kopi dan kuih donut? apa yang tersirat dan tersurat? jom kita berkongsi bersama, Selalunya bila ke kedai atau warung, bila air kopi diorder, air kopi tersebut di hantar kepada pelanggan dalam keadaan susu atau gula dan air kopi belum bercampur, maksudnya di sini adalah, air kopi belum dibancuh atau dikacau dengan susu yang berada dibawah iaitu di permukaan gelas atau cawan.

Baik, air Kopi. jika seseorang minum air kopi tanpa membancuh atau kacau susu dengan air kopi tersebut, sudah semestinya pada mulanya akan terasa kopi itu pahit dan akhirnya terasa terlalu manis kerana susu atau gula masih berkumpul dibawahnya yang belum dikacau, apa kata jika air kopi tersebut dibancuh dan dikacau dengan susu atau gula serta dicicah pula dengan donut, apa rasanya, lazat bukan? Kuih donut ibarat roda kehidupan, hidup kita tidak akan sentiasa berada di atas dan tidak sentiasa di bawah. Begitulah ibarat hidup kita, hidup kita tidak sentiasa berada dalam keadaan senang dan bahagia atau sebaliknya kerana tanpa kesusahan dan ujian dariNYA kita takkan pernah merasai kesusahan dan nikmat menghadapi sesuatu ujian itu.\

Saya mahu bertanya kepada pembaca budiman sekalian,yang mana lebih lazat, adakah air kopi yang dibancuh dengan susu/gula atau air kopi yang tidak dibancuh dengan susu/gula tersebut? Sudah tentu yang telah dibancuh bukan? Air kopi yang dibancuh dengan susu atau gula lebih lazat dibandingkan dengan kopi yang tidak dibancuh dan dikacau, makna disebalik air kopi dan susu/gula tersebut adalah ibarat kesusahan dan kesenangan dalam hidup manusia, manusia akan merasai nikmat hidup apabila kesenangan hidup disertai dengan ujian dariNYA. ingatlah, setiap kesulitan ada kesudahannya dan kemanisannya, Allah tidak akan menguji hambaNYA tanpa kemampuan seseorang hamba. Allah menguji seseorang hamba tanda kasih sayang Allah kepada kita, Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala seseuatu....

Kehidupan anugerah yang terulung bagi yang bergelar insan,
Harus dibajai dengan teras keluhuran keimanan,
Disemai dengan kejayaan menghiasi perjalanan,
Al-Quran dan sabda Rasullullah menjadi pedoman pendinding diri.

Adakalanya mencengkam diri tatkala alpa,
hampir meretakkan benteng ketabahan,
Bermula remaja bertatih menaiki tangga dewasa,
Dilangkah berhati-hati agar tidak silap menapak,
Merealisasikan impian menjadi realiti adalah suatu janji.

Pertemuan dan perpisahan adat suatu perhubungan,
Mengajar manusia erti suatu kesedihan dan kesedaran,
Wayang dunia menjadi peraturan bagi mereka
yang bersifat materialistik,
Mana yang bijak memutar belit gah berdiri,
Diperalatkan atau memperalatkan menjadi suatu rutin.

Tiada yang kekal di dunia, sentiasa berubah mengikut arus masa,
Yang muda tidak selamanya muda,
Bagi mereka yang sedar bekal tega di dada,
Yang tergelincir landasan, hanya berserah menanti pembalasan,
DIA yang lebih mengetahui segalanya...

Wallahua'lam...

Setakat di sini dulu perkongsian kali ini, jika ada salah dan silap harap ditegur insan yang jahil ini....terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca perkongsian ini....Alhamdulillah...sampai berjumpa lagi di lain perkongsian, semoga bermanfaat....senyumlah selalu wahai insan, kerana senyuman itu antara penawar bagi kesedihan dan kedukaan... (^__^)
READ MORE- Air kopi Dan Donut (Transit Hidup)

Thursday, 15 December 2011

Usrah Tunjang Tarbiyah



"Genggamlah dengan erat hati, pegangan tauhid yang hakiki...."

Assalamualaikum w.h.b..

Setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Yang Maha Esa serta selawat ke atas junjungan besar Rasullullah s.a.w. pagi tadi saya mendapat berpuluh-puluh email dari sahabat2 seperjuangan, banyak juga soalan dan pandangan yang diberikan, terima kasih kepada sahabat2 semua kerana sudi berkongsi ilmu bersama saya, bila dibaca satu persatu, saya tertarik dengan dua email bersertakan soalan oleh seorang sahabat non-muslim dan seorang sahabat seagama iaitu islam bertanyakan soalan yang mirip sama, begini soalannya :

(Si fulan (islam) : Assalamualaikum ustazah nadirah, saya nak tanya satu soalan, dah lama saya keliru dengan benda ini, boleh ustazah terangkan apa sebenarnya objektif, pengertian, matlamat, sejarah, rukun-rukun, pengisian serta adab-adab berusrah? saya selalu tengok ustazah bawa anak-anak murid dan kawan-kawan ustazah berkumpul, dan ustazah pasti ingat kan? saya datang jumpa ustazah dan tanya ustazah, ustazah sedang buat apa tadi? secara ringkas ustazah jawab "Usrah"..lalu ustazah tersenyum..malu juga nak tanya ustazah apa itu usrah, sebab saya tak tahu, tapi saya cuba langkah lain, saya hantar email ini supaya ustazah boleh terangkan kepada saya dan rungkaikan permasalahan saya ini, terima kasih... Assalamualaikum....

(Si fulan (non-muslim) : Nadirah, lin mau tanya sm kamu, apa itu usrah? x paham.. apa benda tu? sbb hari tu lin dgr kamu bincang cakap pasal usrah dengan kawan2 lin tpi lin x paham... boleh explain x?

Baiklah, kedua-dua soalan tersebut saya akan cuba jawab dan sebarang teguran dari para arif dan bijaksana serta sahabat-sahabat sangat saya harapkan dan alu-alukan agar saya dapat memperkemaskan lagi blog dan ruangan perkongsian ini, semoga mendapat manfaat dari perkongsian ini... baiklah....

apa objektif saya membuat dan memilih penulisan ini? secara ringkas supaya :

1 : Ahli usrah memahami pengertian dan konsep usrah yang sebenar.
2 : Ahli usrah memahami keperluan mengikuti usrah dan matlamatnya.
3 : Ahli usrah memahami dan menghayati rukun-rukun usrah dan menyedari bahawa ia adalah antara keistimewaan yang di dapati daripada pembabitan diri dalam usrah.

Sekarang saya akan terangkan beberapa perkara yang diminta oleh sahabat kita dalam soalan di atas mengenai usrah, antaranya :

1 : Pengertian usrah
2 : Matlamat usrah
3 : Sejarah usrah
4 : Rukun-rukun usrah : Ta'aruf, tafahum, takaful
5 : Adab-Adab usrah



PENGERTIAN USRAH


Usrah dalam bahasa arab ialah keluarga. Dari segi istilah, usrah bermaksud kumpulan individu muslim (afradul muslim) yang beriman dengan Allah s.w.t, berusaha tolong-menolong antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati islam. Usrah membentuk satu ikatan perpaduan yang dibina atas dasar aqidah Islamiyyah dan terjalin dengan satu ikatan persaudaraan islam (Ukhuwwah Islamiyyah). Usrah juga merupakan medan tarbiyyah dalam usaha membentuk generasi yang sanggup hidup dan mati memperjuangkan islam.

MATLAMAT USRAH


1 :Meningkatkan dan memantapkan kefahaman ahli usrah tentang ajaran islam yang syumul.
2 : Mengukuhkan semnagat ukhuwwah islamiyyah dan memupuk semangat bertindak secara berjemaah.
3 : Menambahkan penghayatan islam dan melahirkan rasa tanggungjawab terhadap islam.
4 : Membentuk satu generasi yang benar-benar memahami islam, beramal dengan ajaran islam dan bersedia untuk memperjuangkan agama Allah s.w.t.

SEJARAH USRAH


Sejarah usrah bermula pada zaman Rasullullah s.a.w, apabila orang yang memeluk islam meningkat kepada 50 lelaki dan wanita. Rasullullah telah memilih sebuah rumah yang terpencil iaitu rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai tempat menyampaikan segala ajaran-ajaran islam, tunjuk ajar dan nasihat. Semua ini telah berjaya menarik hampir 40 orang lagi memeluk islam. Kebanyakan mereka adalah golongan fakir miskin dan hamba yang tidak ada tempat dalam masyarakat Quraisy.

RUKUN-RUKUN USRAH


Rukun usrah terdiri daripada 3 perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua ahli usrah dan bersungguh-sungguh menjayakannya agar ikatan usrah tersebut tidak semata-mata menjadi beban yang tidak membawa sebarang erti. Tiga rukun usrah tersebut ialah :

1 : Al-Ta'aruf (Berkenalan)
2 : Al-Tafahum (Persefahaman)
3 : Al-Takaful (Bantu-membantu / perseimbangan)

Al-Ta'aruf (Berkenalan)

Berkenalan antara satu sama lain merupakan rukun pertama usrah. Setiap ahli hendaklah mengenali antara satu sama lain serta berkasih sayang dalam naungan ruh Allah. Mereka perlu menyedari dan memahami pengertian ukhuwwah sejati sesama saudara. Ahli juga digalakkan berusaha bersungguh-sungguh supaya tiada sebarang perkara yang boleh mengeruhkan hubungan tersebut. Ini boleh dilakukan dengan menjunjung perintah Allah s.w.t dan sunnah Rasullullah s.a.w, bahkan kedua-duanya wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain. Firman Allah s.w.t :

"Sesungguhnya setiap orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka perbaikilah hubungan sesama saudara kamu........" (Al-Hujuraat : 10)

firman Allah seterusnya :

"....dan hendaklah kamu semua berpegang kepada tali Allah kesemuanya dan janganlah kamu berpecah belah......." (Ali-Imran : 101)

Sabda Rasullullah s.a.w bermaksud :

"seseorang mukmin bagi mukmin yang lain seperti bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.:"

Sabda Rasullullah s.a.w :

"Orang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya.:

Sabda Rasullullah s.a.w :

"Perbandingan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang mereka, belas kasihan sesama mereka dan perasaan simpati mereka, adalah seperti badan yang satu; apabila mana-mana anggota badan mengadukan hal, maka seluruh tubuh akan menanggungnya dengan berjaga malam dan merasai demam."

Al-Tafahum (Persefahaman)

Rukun kedua usrah ialah Tafahum atau persefahaman. Kita dituntut sepanjang masa untuk berpegang teguh kepada kebenaran, iaitu dengan mengerjakan suruhan Allah s.w.t. dan meninggalkan segala laranganNYA. Ahli usrah mesti sentiasa meneliti diri sehalus-halusnya samada benar-benar telah menunaikan perintah Allah s.w.t. atau menderhakai perintahNYA. Setelah memeriksa diri sendiri, maka hendaklah nasihat menasihati antara satu sama lain apabila ada kekurangan pada saudara yang lain.

Dalam memberi nasihat, yang diberi nasihat hendaklah bersedia menerima nasihat dari saudaranya dan berterima kasih atas nasihat tersebut, manakala pemberi nasihat pula, janganlah berburuk sangka terhadap saudaranya yang tersilap tadi walaupun perubahan hati itu sekadar jarak sehelai rambut sekalipun.

Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik dan tidak memandang rendah terhadap saudara yang dinasihati. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia bahkan hendaklah memberi nasihat dengan cara tidak melahirkan secara terang kesilapan saudaranya itu selama sebulan dan tidak menceritakan kecacatan yang telah diperhatikannya kepada ketua usrah. Ia hendaklah menceritakan hal itu kepada ketua usrah jika merasa tidak terdaya untuk memperbaikinya.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, janganlah sekali-kali kita merasa tawar hati terhadap saudara yang bersalah tadi, malah hendaklah memberikan kasih sayang kepadanya sehinggalah berlaku apa-apa perubahan yang dikehendaki. Saudara yang diberi nasihat pula janganlah menunjukkan kedegilan dan sikap keras kepalanya kepada pemberi nasihat. Ini kerana martabat "berkasih sayang kerana Allah" adalah setinggi-tinggi martabat kasih sayang sesama manusia. Nasihat pula merupakan dasar yang amat penting dalam agama islam. Ini bersesuaian dengan sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud. "Agama itu adalah nasihat".

Al-Takaful (Bantu-membantu / perseimbangan)

Al-Takaful atau bantu-membantu adalah memelihara nasib sesama sendiri hingga tiada yang terbiar dan terdampar. Dasar Al-Takaful ini hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk bersama-sama memikul bebanan sesama sendiri. Dasar ini merupakan tunjang iman dan intisari ukhuwwah yang sejati. Untuk mengamalkan rukun al-takaful ini, kita hendaklah sentiasa bertanya khabar berita, ziarah-menziarahi dan saling memberi pertolongan sedaya mungkin. Sabda Rasullullah s.a.w yang berbunyi :

"Sekiranya seseorang kamu berjalan kerana hendak menolong saudaranya, itu adalah lebih baik baginya daripada beriktikaf selama sebulan di dalam masjidku ini."

Kesimpulannya, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli usrah untuk memelihara dan melaksanakan rukun-rukun usrah ini dengan sebaik mungkin. Kita mesti saling percaya mempercayai dan menjaga kerahsiaan ahli usrah. Bagi para naqib/at pula, laksanakanlah amanah dan tugas ini dengan penuh keikhlasan untuk menegakkan agama Allah, istiqamah dengan perjuangan yang benar dan berusaha ke arah mewujudkan suasana ukhuwwah Islamiyyah di kalangan anggota usrah. Mudah-mudahan Allah sentiasa membantu kita.

Berusrah (muslimin)

PENGISIAN USRAH

Setiap individu mempunyai kewajipan yang banyak berbanding dngan masa yang ada, tambahan lagi bagi seseorang yang berada dalam jalan perjuangan islam. Oleh itu, pertemuan usrah hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara berikut : 

*Membentangkan permasalahan dan kesalahan

Setiap ahli usrah hendaklah membentangkan permasalahan dan kesulitan yang dihadapi, kemudian saudara yang lain turut mengambil berat untuk menolong anggota mengatasi masalah tersebut. Ini hendaklah dilakukan dalam suasana ukhuwwah sejati semata-mata kerana Allah s.w.t. Sabda Rasullullah s.a.w :

"Orang mukimin itu adalah cermin bagi saudaranya."

Sabda Rasullullah s.a.w seterusnya yang bermaksud :

"Perbandingan orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang mereka, belas kasihan sesama mereka, dan rasa simpati mereka adalah seperti badan yang satu; apabila mana-mana anggota badan  mengadukan hal maka seluruh anggota yang lain turut mengganggunya dengan berjaga malam dan merasai demam."

*Bermuzakarah

Kita digalakkan bermuzakarah iaitu bertukar-tukar pendapat berkaitan urusan umat islam. Hendaklah menatap risalah-risalah dan taklimat yang diedarkan. Dalam setiap pertemuan usrah, janganlah ada sebarang pertengkaran dan pertikaman lidah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar tatatertib dan dengan cara menghargai pendapat yang datang dari semua pihak.

*Kajian buku

Kita juga digalakkan mengadakan kajian yang berfaedah mengenai sesebuah kitab yang bermutu. Apabila sesuatu kajian berjaya dilakukan, maka hendaklah beralih untuk melaksanakan isi kandungannya dalam menjayakan erti ukhuwwah yang sebenar. Perkara-perkara sebegini tentulah tidak dapat disediakan dalam talimat-taklimat usrah.

*Program tambahan

Dalam usaha mengukuhkan ikatan persaudaraan di kalangan ahli usrah, maka perkara tersebut perlu diambil berat :

(a) mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan sebagainya.
(b) Mengadakan perkelahan riadhah pada setiap hari.
(c) Berpuasa dan berbuka puasa bersama-sama seminggu atau dua minggu sekali.
(d) Sembahyang berjemaah bersama-sama di surau atau masjid.
(e) Berusaha untuk bermalam beramai-ramai dan berqiamullail.

Berusrah (muslimat)

ADAB-ADAB USRAH

1 : Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ


Maksudnya : katakanlah : "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah taala." (Al-an'aam : 162)

2 : Datang ke tempat usrah tepat pada waktu yang ditetapkan.

3 : Meminta izin untuk masuk dan keluar usrah serta memberi salam sebelum masuk usrah.

4 : Datang ke majlis usrah dalam keadaan berwudhu' dan suci tubuh badan.

5 : Datang ke majlis usrah dengan persiapan dan membawa keperluan yang diperlukan seperti Al-Quran, teks usrah dan buku catitan.

6 : Hadir usrah dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwwah Islamiyyah dan berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman islam.

7 : Mendahului majlis usrah dengan Al-Fatihah, pujian dan syukur ke hadrat Allah s.w.t, serta selawat ke atas Rasullullah s.a.w. Menutup majlis dengan bacaan Surah al-Asr dan Tasbih Kaffarah dengan bertadabbur maknanya.

8 : Jangan mengangkat suara yang tinggi melebihi keperluan, tidak banyak ketawa dan tidak banyak bergurau serta tidak banyak bertengkar.

9 : Sentiasa berusaha untuk merapatkan ukhuwwah Islamiyyah di kalangan ahli usrah.

10 : Berada dalam keadaan sopan santun dan berbincang dengan baik dalam segala perkara yang dibangkitkan.

11 : Bersalaman dan bermaafan selepas selesai usrah.

Alhamdulillah, ini lah serba sedikit yang mampu saya huraikan di runagan ini tentang usrah, segala kesilapan dan kekuranagn adalah kelemahan daripada saya sendiri, oleh itu jika terdapat sebarang kesilapan dalam penulisan di atas harap dimaafkan. Teguran membina amatlah dialu-alukan untuk membetulkan kesilapan pada penulisan ini, Akhir kata, terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa untuk membaca dan menziarah blog ini, semoga sama-sama mendapat manfaatnya... JOM USRAH!!
READ MORE- Usrah Tunjang Tarbiyah

CATATAN POPULAR