Friday, 12 August 2011

Bagaimana Kristian Masuk Ke Semenanjung Arab

Sampai suatu masa, Yaman diperintahkan oleh seorang yang berketurunan Tabban yang bernama Zu Nuwas. Pada masa itu, ada seorang rahib Kristian dari Syam bernama Ferneon. Dia keluar dari Syam untuk berdakwah di Afrika. Dalam perjalanan, dia diserang oleh perompak lalu ditangkap dan dijual kepada seorang lelaki dari Najran. Kemudian, tuannya berpindah ke Semenanjung Arab. Ferneon menjadi hamba lelaki Najran itu. Di samping berkhidmat kepada tuannya, dia juga beribadah pada waktu rehat dan sangat kuat berpegang pada agamanya.

Pada suatu malam, tuannya masuk ke tempat Ferneon. Dia mendapati tempat Ferneon bercahaya. Tuannya bertanya apa rahsianya yang menyebabkan begitu? Ferneon lalu mengambil peluang berdakwah kepada tuannya berkaitan dengan agama Kristian kerana orang Najran pada masa itu menyembah pokok.

Ferneon berkata kepada tuannya, "Bagaimana kalau Tuhan saya dapat mengalahkan Tuhan tuan, Adakah tuan mahu menyembah Tuhan saya?"

Najran berkata, "Kalau memang Tuhan kamu dapat mengalahkan Tuhan aku, Aku masuk agama kamu."

Dikumpulkan orang ramai di tempat pokok yang menjadi sembahan orang-orang Najran. Ferneon datang ke situ bersembahyang dan berdoa kepada Tuhan supaya memberi pertunjuk kepada orang-orang Najran berhubung dengan agama yang benar, Akhirnya, kilat membakar pokok itu, Dengan peristiwa itu, semua orang Najran masuk agama kristian.

Selepas itu, ada seorang lelaki dari Najran yang bernama Abdullah bin Thabit dengan beberapa orang pendeta Kristian dari Najran berpindah ke Yaman. Mereka beribadah secara rahsia di Yaman kerana takut pada orang-orang Yahudi Yaman. Pada masa itu, Yaman masih diperintahkan oleh Tubba yang bernama Zu Nuwas. Zu Nuwas pula sedang mencari pengganti ahli sihirnya yang sudah tua. Dia memilih seorang remaja yang paling cerdik di negerinya bagi mewarisi ilmu sihir daripada tukang sihir diraja.

Setiap hari remaja itu pergi belajar sihir daripada tukang sihir diraja yang tinggal di bukit. Dalam perjalanan ke tempat gurunya, remaja itu melalui tempat salah seorang rahib dari Najran tadi. Di situ, dia dapat mendengar rintihan rahib ini dalam ibadahnya. Akhirnya, dia jatuh hati kepada rintihan dan doa rahib ini dan mula masuk belajar dengan rahib ini.

Pada masa yang sama, dia juga belajar ilmu sihir daripada tukang sihir diraja tadi. Lama-kelamaan, dia merasa benci dengan sihir dan tidak pergi belajar lagi dengan tukang sihir diraja. Dia hanya pergi belajar dengan rahib tadi. Tukang sihir membuat laporan kepada raja. Raja menangkap remaja itu, diazab dan dipaksa keluar daripada agama yang dipelajari daripada rahib.

Raja Zu Nuwas atau Tubba Zu Nuwas memerintahkan remaja ini dibunuh. Pengawal raja membawanya untuk dicampakkan ke tengah laut, Apabila sampai di tengah laut, ribut datang melanda, menyebabkan sampan terbalik dan semua pengawal raja mati. Remaja ini pulang menghadap raja dengan selamat.

Raja memerintah supaya dia dicampak dari atas gunung pula, semua rakyat menyaksikan peristiwa ini. Apabila tentera raja mahu mencampakkan remaja ini dari atas gunung, berlaku gempa bumi. Semua tentera raja yang membawa remaja ini jatuh dari atas gunung dan remaja ini selamat. Pelbagai cara digunakan oleh Tubba Zu Nuwas bagi menghapuskan remaja beriman ini tetapi tidak berjaya.

Akhirnya, remaja ini memberitahu Tubba, "Wahai Tubba Zu Nuwas, kalau tuanku mahu membunuh saya, hendaklah tuanku mengumpulkan semua rakyat dan ikat saya pada pokok, kemudian ambil panah ini dan panahlah saya dengan menyebut, "Dengan nama Tuhan remaja ini". Kalau tuanku laksanakan apa yang saya katakan ini baru tuanku dapat membunuh saya."

Apabila Zu Nuwas melaksanakan seperti yang disebut oleh remaja yang beriman ini barulah dia berjaya membunuhnya.

Semua rakyat yang menyaksikan peristiwa itu berkata, "Bagaimanakah Zu Nuwas dengan kekuasaan dan kegagahannya tidak berjaya membunuh remaja ini melainkan dengan menyebut, "Dengan nama Tuhan remaja ini!."

Dengan peristiwa itu, Tuhan campakkan iman ke dalam hati 20,000 rakyat Yaman pada masa itu. Mereka semua beriman dengan agama yang benar. Tubba Zu Nuwas yang terlalu marah dengan peristiwa itu, akhirnya memerintahkan tenteranya menggali lubang yang besar. Di dalam Al-Quran di sebut al-Ukhdud. Dipenuhkan kayu api di dalamnya, kemudian dinyalakan api yang besar. Siapa yang tidak mahu murtad daripada agama yang benar dicampakkan dalam api itu. Peristiwa ini disebut di dalam Al-Quran dalam surah al-Buruj.

Perkara ini juga ada diceritakan dalam dalam hadis. Muhammad berkata. "Daripada ramai-ramai yang menunggu giliran dibakar, ada seorang ibu dengan bayinya yang masih menyusu. Dia merasa takut dan teragak-agak, juga merasa kasihan ke atas anaknya yang masih kecil untuk dibakar dalam api tubba. Bayinya bercakap kepada ibunya, "Wahai ibu, jangan takut, terjun sajalah ke dalam api itu, sesungguhnya ibu sedang menuju ke syurga'."

20,000 orang itu dibakar kerana mereka beriman kepada Tuhan Yang Esa. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, tidak menentang raja. Tetapi oleh kerana mereka beriman, tubba membakar mereka semua. Terdapat seorang lelaki yang terselamat yang bernama Daus bin Tha'labah. Dia berjaya melarikan diri dan pergi mengadu kepada Kaisar atau Raja Rom yang juga beragama Kristian.

Kaisar sangat marah apabila mendengar Zu Nuwas membakar orang-orang Kristian di Yaman, lalu mengirim wakilnya kepada Najasyi Raja Habsyah, iaitu raja Kristian yang paling dekat dengan Yaman supaya menghantar tentera memerangi Tubba Raja Yaman itu.Najasyi yang juga sangat marah mendengar cerita Daus itu terus menyiapkan tenteranya seramai 70,000, suatu jumlah tentera yang sangat besar pada masa itu dan belum pernah berlaku lagi di Semenanjung Arab. Tentera ini diketuai oleh panglimanya yang bernama Aryat. Dalam barisan panglima tentera itu, ada panglima yang bernama Abrahah.

Apabila berlaku peperangan antara tentera Aryat dan tentera Tubba Zu Nuwas, tentera tubba kalah, Zu Nuwas melarikan diri dan masuk ke dalam laut dan membunuh diri. Oleh itu, orang Habsyah menguasai Yaman dan Najasyi melantik Aryat menjadi gabenornya di Yaman. Apabila Aryat menjadi gabenor, dia mula menzalimi rakyat Yaman serta tentera-tenteranya sendiri. Akhirnya,  tenteranya yang tidak tahan dengan sikap Aryat memberontak di bawah pimpinan Abrahah.

Pertelingkahan berlaku dalam tentera Habsyah, satu yang menyokong Aryat dan satu lagi yang menyokong Abrahah. Abrahah yang tidak mahu berlaku  peperangan sesama tentera Habsyah mengajak Aryat bertarung satu lawan satu. Siapa yang menang, dia berhak memerintah Yaman.

Dalam pertarungan itu, Abrahah berjaya membunuh Aryat. Tetapi sebelum Aryat terbunuh, dia sempat menebas hidung Abrahah lalu terserpihlah hidung Abrahah. Oleh itu, Abrahah digelar Abrahah al-Asyram atau Abrahah yang serpih hidungnya. Dengan itu, Abrahah memerintah Yaman sebagai raja.

Apabila berita ini sampai kepada Najasyi, beliau murka dengan Abrahah yang berani membunuh gabenor yang dilantik olehnya. Najasyi bersumpah akan  memimpin sendiri tenteranya ke Yaman dan tidak akan kembali ke Habsyah melainkan selepas dapat memijak-mijak tanah Yaman dan membotakkan kepala Abrahah sebagai tanda penghinaan kepadanya.

Abrahah takut, dia tidak berani melawan Najasyi. Dengan kepintarannya, dia menghantar utusannya menghadap Najasyi. Dia menghantar bersama utusan ini rambutnya dan tanah Yaman. Katanya kepada Najasyi, "Wahai Tuanku Najasyi, ini Abrahah sudah menyempurnakan sumpah tuanku, ini rambut Abrahah dan ini tanah Yaman untuk tuanku pijak-pijak. Abrahah tetap taat setia dan tunduk kepada tuanku." Dengan itu Najasyi tidak jadi memerangi Abrahah. Selesai masalah Abrahah dengan Najasyi.

*Ambillah manfaat dari kisah ini, insyaALLAH, akan di sambung dengan kisah seterusnya....insyaALLAH... senyum sokmo deh...:-)
READ MORE- Bagaimana Kristian Masuk Ke Semenanjung Arab

Bagaimana Agama Yahudi Bertapak Di Semenanjung Arab



Ahli-ahli sejarah memulakan cerita bagaimana agama Yahudi bertapak di Semenanjung Arab dengan kisah seorang pemimpin Yaman yang bernama Rabiah dan Nasr. Beliau bermimpi pelik dan kemudian mimpi itu ditafsirkan oleh ahli nujum.

Ahli nujum berkata, "Mimpi tuanku bermaksud orang-orang Habsyah akan menakluki Yaman." Tanya Rabiah, "Bila?" Ahli nujum berkata, "Sekitar 60 sehingga 70 tahun lagi."

Rabiah takut hal itu berlaku ke atas zuriatnya, lalu dia membawa semua ahli keluarganya meninggalkan negeri Yaman. Mereka berpindah ke Hirah yang berdekatan dengan Iraq. Akhirnya mereka menguasai Hirah. Ahli-ahli sejarah mengatakan, Nu'aim bin Munzir, Raja Hirah adalah daripada keturunan Rabiah dan Nasr.

Pada masa itu, raja-raja Rom dipanggil Kaisar, raja-raja Farsi dipanggil Kisra, raja-raja di negeri Habsyah dipanggil najasy, dan raja-raja di negeri Yaman dipanggil tubba'. Di dalam Al-Quran, apabila disebut kaum tubba', ia bermaksud orang-orang Yaman.

Suatu masa, Yaman diperintah oleh tubba' yang bernama Tabban bin As'ad. Dia adalah raja yang terkenal dan selalu keluar berdagang dan melancong. Pada suatu masa, dia keluar berdagang ke negeri Syam dengan ditemani oleh anaknya dan tentera-tenteranya. Sebelum ke Syam, mereka terlebih dahulu singgah di Madinah, kemudian anaknya ditinggalkan menguruskan perniagaannya di Madinah.

Semasa Tabban bin As'ad pergi ke Syam, berlaku perselisihan faham antara anaknya dengan orang-orang Madinah sehingga orang-orang Madinah membunuh anaknya. Apabila Tabban tahu, dia berpatah balik hendak menuntut bela atas kematian anaknya. Berlakulah peperangan antara orang Yaman dan orang Madinah.

Dalam peperangan itu, ada suatu perkara yang memelikkan Tabban, Orang Madinah hanya berperang pada siang hari. Apabila sampai waktu malam, mereka berhenti berperang. Pada waktu malam orang-orang Madinah menghantar makanan dan minuman kepada tentera Tabban yang memerangi mereka pada siang hari, Sampai begitu sekali mereka memuliakan tetamu walaupun tetamu itu adalah musuh yang memerangi mereka pada siang hari. Walaupun dilayan begitu baik, Tabban tetap mahu menuntut bela kematian anaknya.

Di tengah-tengah peperangan ini, pendeta-pendeta Yahudi yang datang dari Syam menemui Tabban. Mereka mahu berbincang dengan Tabban.

Selepas masuk menghadap Tabban mereka bertanya, "Apa yang kamu mahu daripada peperangan ini, wahai Tabban?"

Tabban berkata, "Aku mahu merosakkan Madinah."

Pendeta Yahudi berkata kepada Tabban, "Kamu tidak akan berjaya, Tuhan akan musnahkan kamu. Madinah ini adalah tempat hijrah Muhammad bin Abdullah , begitulah yang ada disebut dalam kitab-kitab kami."

Dari situ, Tabban berminat dan tertarik mendalami kitab suci orang Yahudi yang dipanggil Taurat. Akhirnya, dia memeluk agama Yahudi. Dengan itu, dia berhenti memerangi orang-orang Madinah, Selepas itu dia dan tenteranya bergerak ke Mekah.

Pada masa itu, orang Yahudi suku Huzail memusuhi orang Mekah dan mereka juga tidak suka orang Yaman. Mereka mengambil peluang ini melaga-lagakan orang Yaman dengan orang Mekah. Mereka menghadap tabban dan menceritakan di Mekah terdapat bangunan iaitu Kaabah di mana di bawah Kaabah ini terdapat banyak emas dan permata. Memang pada masa itu orang-orang Arab menanam emas dan permata di bawah Kaabah bagi memuliakan Kaabah.

Apabila Tabban mendengar hal ini, datang rasa tamak hendak menguasai harta ini. Dia lalu mempersiapkan tenteranya bagi menyerang Mekah dan Kaabah. Apabila pendeta Yahudi yang masih ada bersama mereka kerana mengajar mereka agama Yahudi mendapat tahu perkara itu, mereka menghadap Tabban. Mereka menasihati Tabban supaya tidak menyerang Mekah dan Kaabah.

Mereka berkata, "Yang kami tahu, Kaabah inilah satu-satunya rumah Tuhan di atas muka bumi ini. Kalau kamu serang Kaabah, Tuhan akan musnahkan kamu."

Tabban menerima nasihat itu dan meminta pandangan pendeta Yahudi itu apa yang patut dia lakukan apabila dia memasuki Mekah nanti.

Pendeta Yahudi berkata, "Apabila tuan masuk Mekah nanti, tuan besarkan Kaabah."

"Bagaimana?" Tabban bertanya.

Pendeta Yahudi berkata, "Tuan tawaf sekeliling Kaabah."

Tabban bertanya kepada pendeta, "Adakah kamu akan tawaf juga?"

Pendeta berkata, "Kami pun hendak tawaf, tetapi oleh kerana Kaabah pada masa ini dipenuhi dengan berhala di sekelilingnya, kami para ulama tidak sepatutnya tawaf dalam keadaan itu."



Tabban pun melaksanakan nasihat pendeta Yahudi itu. Semasa di Mekah, dia bermimpi memakaikan kelambu pada Kaabah. Dia memerintahkan orang-orangnya supaya menyiapkan kelambu Kaabah. Dengan itu, orang yang pertama memakaikan kelambu pada Kaabah adalah Tabban bin As'ad, Raja Yaman ini. Selepas itu, barulah suku Arab menyambung tradisi ini.

Apabila Tabban balik ke Yaman, dia memerintahkan semua rakyatnya masuk agama Yahudi tetapi rakyatnya tidak setuju. Rakyat Yaman ketika itu menyembah api. Di setiap rumah mereka ada rumah api. Apabila mereka bergaduh sesama sendiri, mereka pergi ke rumah api itu. Apabila rumah api dibuka, siapa yang mula-mula disambar api, dialah yang bersalah. Mereka mengambil keputusan berhakim dengan api dalam masalah arahan Tabban ini. Tabban pun bersetuju.

Pada hari yang ditentukan, pendeta Yahudi itu dibawa ke rumah api. Begitu juga dengan pendeta Majusi yang menyembah api.Apabila dibuka pintu rumah api, api menyambar pendeta Majusi. Mereka lari menyelamatkan diri. Rakyat tidak puas hati, diulang lagi bagi kali kedua. Kali ini pendeta Majusi dipaksa jangan lari. Kali ini pun terkena pendeta Majusi juga. Akhirnya, pendeta Majusi mati dibakar oleh api di situ. Dengan itu, semua rakyat Yaman masuk agama Yahudi. Demikianlah menurut ahli-ahli sejarah bagaimana Yahudi masuk ke Yaman dan seterusnya ke Semenanjung Arab.

READ MORE- Bagaimana Agama Yahudi Bertapak Di Semenanjung Arab

Bagaimana Sikap Syirik Masuk Ke Semenanjung Arab

(sambungan dari artikel Ibrahim membina bangunan Kaabah, ana asing2kan tajuk2 ini supaya rakan2 mudah mencari tajuk yang ingin dibaca)






Selepas itu, datang seorang lelaki Arab daripada suku Khuzaah yang bernama Amru bin Lu'ayy. Suku Khuzaah menyerang suku Jurhum dan menghalau mereka keluar dari Mekah. Dengan itu, suku Khuzaah dapat menguasai Mekah. Amru bin Lu'ayy adalah orang pertama yang memperkenalkan berhala kepada suku kaumnya dan kemudian amalan menyembah berhala tersebar ke seluruh suku-suku Arab yang lain.

Amru adalah seorang yang kaya dan dermawan. Dialah yang menyediakan keperluan orang ramai yang datang mengerjakan haji di Mekah. Oleh itu, orang mudah terpengaruh dengan kata-katanya dan akhirnya mereka menurut perintahnya menyembah berhala. Bukan setakat itu sahaja, selepas itu amru mencipta binatang-binatang yang kononnya suci pula supaya disembah. Antaranya diberi nama Sa'ibah, Bahirah dan Hami. Hami adalah unta betina yang melahirkan 10 ekor unta jantan. Oleh itu, unta ini dinamakan Hami dan tidak boleh ditunggang lagi, tidak boleh disembelih dan tidak boleh disakiti, sebaliknya dihormati dan dipuja.

Bermula dari situ, setiap suku Arab mempunyai berhala mereka sendiri. Hubal adalah berhala orang Mekah, Wud berhala suku Kilab. Suwa' berhala suku Huzail. Yaguth berhala suku Thoyyik dan penduduk Jerash. Ya'uq berhala suku Hamazan dan Nasr berhala orang Yaman, yang menarik lagi adalah berhala yang bernama Isaf dan Nailah, dua berhala yang disembah di kawasan Kaabah.

Menurut ahli-ahli sejarah, asalnya Isaf ini seorang pemuda dari Yaman dan Nailah seorang gadis dari Yaman. Mereka saling mencintai tetapi tidak dibenarkan berkahwin oleh keluarga. Ringkasnya, mereka berjanji bertemu di Mekah pada musim haji. Tanpa disedari ramai, mereka melakukan perbuatan zina di tepi Kaabah, sebagai balasan, Tuhan menukarkan mereka menjadi batu. Selepas itu, Isaf diletakkan di Bukit Safa dan Nailah diletakkan di Bukit Marwah sebagai pengajaran dan peringatan kepada orang lain/

Apabila Amru bin Lu'ayy datang ke Mekah, dia memindahkan kedua-dua batu itu ke Kaabah, mereka menjadikan dua batu itu berhala yang disembah kerana sudah mula lupa asal-usul batu itu. Begitulah penyembahan berhala yang semakin mendapat tempat di Semenanjung Arab.

Dalam satu peristiwa, sahabat-sahabat Muhammad bin Abdullah pernah Umar menangis dan kemudian tertawa tanpa sebab yang jelas, akhirnya ada yang berani bertanya, "Wahai pemimpin orang Islam, kenapa kamu menangis kemudian tersenyum tanpa sebab yang dapat kami fahami."


Umar menceritakan, "Dahulu aku dan orang Quraisy sangat membenci anak perempuan. Ketika aku mendapat perkhabaran anak perempuan, daripada saat kelahirannya lagi kebencianku sudah bermula. Aku pendam rasa benci itu, aku sabar sampailah umurnya enam tahun, aku sudah tidak tahan lagi, aku membawanya ke padang pasir dan aku gali lubang. Dia menyangka aku membawanya berkelah dan bermain-main, dia turut sama membantuku menggali lubang. Apabila lubang sudah siap, aku menolak dia ke dalam lubang dan aku mula menimbusnya dengan pasir, anakku yang masih belum tahu niatku, masih ingat aku bermain-main, dia tolong mengibaskan pasir-pasir daripada janggut dan pakaianku, tetapi akhirnya aku menimbusnya hidup-hidup tanpa belas kasihan. Inilah kehidupan kami sebelum kehadiran Muhammad, kami memuliakan anak lelaki dan menghina anak perempuan bahkan membunuh mereka hidup-hidup. Maha Besar Tuhan, Maha Baik Tuhan yang menghantar Muhammad yang meletakkan perempuan di tempat yang mulia. Marilah kita bersyukur di atas nikmat ini, Itulah rahsianya, apabila aku teringat kisah ini, aku menangis."


Umar berkata lagi, "Berkenaan mengapa aku tersenyum, pada suatu hari aku keluar dari bandar Mekah. Apabila keluar dari Mekah biasanya kami membawa batu dari Mekah untuk dijadikan sembahan, tetapi hari itu aku terlupa membawa batu, tetapi aku ada membawa kurma, aku membuat berhala daripada kurma dan aku sembah kurma itu. Apabila makanan aku habis, mulalah aku makan Tuhan aku itu sedikit demi sedikit. Apabila aku teringat kisah ini, aku ketawa sendirian."





 Firman ALLAH SWT:
Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.(QS. 4:116)

  Firman ALLAH SWT:
Mereka menjadikan orang-orang alimnya, dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah, dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.(QS. 9:31)

*Jadikanlah iktibar dan pengajaran dan ambillah manfaat dari kisah ini..insyaALLAH, ana update lagi blog ini dengan kisah-kisah seterusnya, moga dapat manfaatnya... terima kasih kerana sudi membaca..:-)






READ MORE- Bagaimana Sikap Syirik Masuk Ke Semenanjung Arab

Thursday, 11 August 2011

Ibrahim Membina Bangunan Kaabah

 

Tuhan memerintahkan Ibrahim membawa isterinya Siti Hajar dan anak kecil kesayangannya iaitu Ismail supaya ditinggalkan di suatu tempat bernama Mekah. Mereka ditinggalkan di sebuah lembah gunung-ganang berbatu di tengah padang pasir yang tidak ada tumbuhan. Mekah pada masa itu adalah lembah yang kosong dan kering kontang.

Ibrahim berasal dari Palestin. Di Mekah, beliau meninggalkan isterinya Siti hajar dan anaknya, Ismail. Apabila mereka ditinggalkan di situ, Siti Hajar merasa pelik kerana di situ tidak ada air, tidak ada makanan, tidak ada jiran yang dapat menolong bahkan tidak ada manusia lain. Dia pula ditinggalkan berdua sahaja dengan anaknya yang masih kecil.

Semasa Ibrahim hendak meninggalkan mereka, Siti Hajar mengekori Ibrahim dari belakang sambil bertanya mengapakah dia ditinggalkan di situ, namun Ibrahim tidak mengendahkannya sehingga akhirnya Siti Hajar bertanya, "Adakah ini perintah Allah?" "Benar" jawab Ibrahim.

Siti Hajar berkata dengan penuh yakin, "Kalau begitu, pasti Tuhan tidak akan mensia-siakan kita. Sekiranya ini adalah perintah Tuhan, pasti ada pembelaan daripada Tuhan yang Maha Baik itu."

Apabila si anak menangis kehausan, sementara susu Siti Hajar sudah mula kering, lalu berlarilah Siti Hajar mencari air dari Bukit Safa menuju pula ke Bukit Marwah dengan penuh cemas dan berharap kepada Tuhan, berkat rintihan hati Siti Hajar yang bergantung penuh pada Tuhan, Tuhan menghantar malaikat yang bernama Jibril. Dengan sayapnya, Jibril menyingkap telaga Zamzam yang airnya terpancar keluar apabila ismail menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Inilah sejarah telaga Zamzam yang masih mengeluarkan airnya sehingga ke hari ini. Telaga ini terletak berdekatan dengan bangunan Kaabah di Mekah.

Menurut ahli-ahli sejarah, peristiwa ini berlaku selepas empangan besar di Yaman, yang bernama Sadd Maarib, pecah. Empangan Maarib adalah empangan yang besar dan menjadi sumber air dan sumber kehidupan di Yaman pada masa itu. Empangan ini dibina oleh kerajaan Saba' di Yaman yang sememangnya terkenal dengan kepakaran seni bina. Mereka membina empangan ini bagi menampung air hujan bagi keperluan dan pertanian mereka. Apabila mereka ingkar kepada Tuhan, Tuhan memecahkan empangan ini.

Selepas empangan ini pecah, bangsa Arab yang berasal dari Yaman berpindah dan mencari tempat-tempat baru. Bertebaranlah bangsa Arab ini ke seluruh semenanjung Arab Suku Thaqif berpindah ke Taif. Suku Aus dan suku Khazraj ke Madinah. Suku Ghasasinah sampai ke negeri Syam, Suku Manazirah pula sampai ke sempadan Iraq.

Pada masa itu, Suku Jurhum melalui kawasan berdekatan dengan Mekah. Mereka ternampak burung-burung berterbangan, itu adalah pertanda ada air di kawasan itu. Mereka tahu selama ini memang tidak pernah ada air di kawasan Mekah. Mereka perlu memeriksa adakah benar ada air di situ.

Apabila mereka melihat ada seorang wanita bersama anak kecil di tempat air, mereka tidak merampas air Zamzam itu daripadanya kerana mereka suku kaum yang baik. Malah mereka meminta izin daripada Siti Hajar berkongsi air. Mereka rela membayar sewa telaga air itu kepada Siti Hajar apabila diminta.

Selepas Ismail mula dewasa, Tuhan memerintahkan Ibrahim dan Ismail membina Kaabah di atas tapak asal Kaabah yang mula-mula dibina oleh Adam. Kaabah sudah dibina semenjak zaman Adam lagi, tetapi kemudian runtuh dan terkambus, Adam adalah manusia pertama yang dicipta Tuhan.

Semasa Ibrahim dan Ismail hampir siap membina Kaabah, apabila sampai di satu penjuru, mereka mencari batu yang paling sesuai bagi diletakkan tetapi tidak menemuinya. Pada masa itu, Tuhan menurunkan seketul batu dari syurga, itulah batu berwarna hitam yang disebut Hajar Aswad, ada pada dinding Kaabahsehingga hari ini.

Kaabah hanyalah bangunan daripada batu yang disusun-susun. Bagaimana hendak memangggil orang supaya datang menziarahi Kaabah? Oleh itu, Tuhan memerintahkan Ibrahim membuat seruan kepada manusia.

Ibrahim berkata, "Wahai Tuhan! Bagaimana suara aku boleh sampai kepada pendengaran semua manusia?"

Tetapi Tuhan menegaskan, tugas Ibrahim hanyalah membuat seruan, Dialah yang menyampaikannya kepada manusia.

Ibrahim pun naik ke Bukit Arafah yang terletak dekat dengan Kaabah dan telaga Zamzam. Dari atas bukit itu beliau menyeru manusia dari seluruh dunia supaya datang menziarahi Kaabah, suara Ibrahim didengari oleh semua manusia dan Tuhan menjatuhkan ke dalam hati mereka rasa cinta bagi memuliakan Kaabah. Dengan itu bermulalah orang ramai datang melakukan ibadah haji ke Kaabah. Khususnya mereka dari seluruh Semenanjung Arab , mereka menghormati dan memuliakan Kaabah. Dengan itu bermulalah ibadah haji. Sejak daripada itu, seluruh bangsa Arab menganut agama Ibrahim iaitu agama yang menyembah hanya satu Tuhan.

*Sahabat2ku, haji merupakan rukun islam ke lima, dan setiap umat islam yang berkemampuan wajib menunaikannya. Ibadat haji bukan sekadar melaksanakan segala rukun dan syaratnya semata-mata tetapi hikmahnya amat luas dan perlu diketahui. Selain dapat menyaksikan Baitullah serta tempat-tempat bersejarah di Mekah dan Madinah, perhimpunan umat islam setahun sekali itu dapat menyatu-padukan umat islam sedunia dan mewujudkan kerjasama dalam pelbagai bidang di samping menambahkan sahabat handai dan kenalan. semoga sahabat2 mendapat manfaat dari perkongsian ini....insyaALLAH, terima kasih kerana sudi membaca.. senyum selalu..:-)
READ MORE- Ibrahim Membina Bangunan Kaabah

Wednesday, 10 August 2011

Al-Fatihah ayat 6

*Assalamualaikum buat kawan2 semua, erm, kali ni nak kongsi lagi, hari tu ada seorang sahabat ada bertanyakan tentang makna surah Al-Fatihah ayat 6, daripada perbualan kami melalui YM, ana ambil sedikit penerangannya  dan ana gabungkan dengan beberapa bahan rujukan serta apa yang ana tahu tentang surah Al-Fatihah ayat 6 ini melalui pembelajaran ana di Pondok menjadi satu artikel, sama2 lah kita kongsi yea...insyaALLAH.. ana mulakan dengan lafaz بسم الله الرحمن الرحيم 

Cuba lihat ayat di bawah
 Firman Allah s.w.t, dalam ayat 6 surah Al-Fatihah, maksudnya: "Bimbinglah kami ke jalan yang lurus."

Ayat ini sebenarnya merupakan suatu doa yang dipanjatkan setelah hambaNYA mempersembahkan segala pujian kepadaNYA (ayat pertama hingga ayat ke 4) diikuti dengan pengiktirafan rasa kehambaan dan ketelusan dalam beribadah (dalam ayat ke 5). Ayat ke 6 dan ke 7 pula adalah akuan permohonan kepada Allah, agar mendapat bimbingan.

Perkara ini merupakan keadaan yang sempurna bagi seorang hamba yang mengajukan permintaan. Setelah dia memuji Allah s.w.t, kemudian memperakui komitmennya sebagai hamba, akhirnya dia memanjatkan keperluannya dan saudara seakidahnya dengannya yang lain.

Selain itu permohonan yang sempurna dapat mempermudahkan pemberian yang dihajatkan itu juga berlaku apabila seseorang hamba memberitahu keadaan dan keperluannya terhadap bantuan Allah.

Contoh peristiwa


Contoh yang paling tepat ialah peristiwa doa Nabi Musa sewaktu melarikan diri ke Madyan. Nabi Musa a.s. yang masih dihantui rasa bersalah kerana membunuh tanpa niat, berhadapan dengan tempat yang tidak pernah dikenalinya, berjauhan dari negeri asal, tanpa saudara, tanpa kenalan. Pergantungannya mutlak pada Allah.

Dalam suasana seperti itu, kata-kata yang terbit dari hati kecilnya hanyalah memohon kepada Allah bantuan ihsan daripadaNYA.

Kata-kata yang menampakkan kehambaan ini diabadikan Allah menerusi ayat ke 24 surah Al-Qasas maksudnya: "Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternakan mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan."

Bimbingan yang utama


Berbalik kepada ayat yang ke 6 surah Al-Fatihah, di sini kita dapat fahami bahawa petunjuk yang sebenarnya hanya datang daripada Allah s.w.t. Pertunjuk yang mempunyai berbagai bentuk, sesuai dengan peranan seseorang individu itu.

FirmanNYA dalam surah Taha ayat ke 50, bermaksud: "Nabi Musa menjawab; "Tuhan kami adalah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu, kejadian semula jadinya yang sesuai dengannya, kemudian ia memberi pertunjuk kepadanya akan cara menggunakannya."

Manusia secara dasarnya dibekalkan dengan dorongan untuk mencari perkara yang diperlukan. Namun melalui naluri semata-mata tidak membolehkan manusia mencapai sesuatu yang tidak mampu dilihatnya. Justeru manusia memerlukan bimbingan Allah, agar tidak tersilap lantaran terlalu bergantung pada akal dan naluri semata-mata.

Ikhlas mengharungi kehidupan


Sentiasalah berdoa agar dapat mengharungi kehidupan seharian: dengan harta dan rezeki yang diusahakan dari sumber yang halal; ilmu yang dicari secara ikhlas; kesihatan yang dijaga sebaiknya; dan lain-lain, semuanya menyumbang dalam bentuk sebuah pakej yang sempurna ke arah kesempurnaan perjalanan dan melancarkannya.

Seorang sahabat Rasullullah berbangsa yahudi, Abdullah bin Salam, selepas memeluk islam, telah bermimpi. Dalam tidurnya beliau terlihat bahawa beliau diperintahkan oleh seseorang agar melalui jalan yang lurus yang membawa ke suatu kebun yang damai lagi mengasyikkan keindahannya. Di hujungnya terdapat tiang yang tinggi menjulang ke langit. Setelah memanjatnya seperti yang disuruh, beliau akhirnya berpegang kuat pada rantai daripada emas di bahagian atasnya.

Nabi s.a.w. telah mentafsirkan mimpi itu bahawa jalan yang lurus itu adalah jalan ahli syurga, taman itu adalah kehidupan dalam islam, tiang itu adalah perlaksanaan rukunnya, dan rantai emas itu adalah akidah yang benar.

Demikianlah benarnya firman Allah dalam ayat ke 6 ini bahawa dihujung jalan yang benar ini terdapat redhaNYA. Di situlah juga bersemadinya rahmatNYA dalam taman-taman syurga yang berkekalan nikmatnya.

*Memang menjadi sifat manusia, apabila menikmati kesenangan mudah lupa diri dan tidak bersyukur. Tetapi apabila ditimpa kesusahan mereka akan cepat kembali pada Allah. Mengingatinya dan memohon dijauhi kesusahan tersebut. Sesungguhnya yang demikian itu bukanlah sifat sejati orang-orang yang beriman. Oleh itu marilah kita sentiasa mengingati Allah, tidak kira semasa senang ataupun susah, mudah-mudahan kita tergolong sebagai hamba-hambaNYA yang taat dan bersyukur
READ MORE- Al-Fatihah ayat 6

CATATAN POPULAR