Saturday 24 September 2011

Apabila Mengahwini Wanita Dalam Idah





Soalan: 
Saya telah berkahwin dengan seorang gadis warga asing pada awal tahun 2011, kehidupan kami bahagia  tanpa ada sebarang konflik yang besar.

Cuma situasinya sekarang, baru-baru ini saya baru mendapat tahu bahawa isteri saya itu sebenarnya berstatus janda dan ketika kami bernikah dahulu, rupa-rupanya dia masih dalam idah dengan suami pertamanya. Saya agak tertekan sekarang memandangkan ada yang memberitahu bahawa pernikahan saya itu tidak sah di sisi syarak. Saya sebenarnya tidak tahu langsung bahawa dia sedang dalam idah kerana selama ini dia mendakwa bahawa dia belum pernah berkahwin.

Jika pernikahan saya itu salah di sisi syarak, apa hukum persetubuhan yang berlaku antara kami selama ini? Dari sudut prosedur undang-undang, apa yang perlu saya lakukan?



Jawapan :


Ya, dukacita saya maklumkan bahawa perkahwinan dengan perempuan yang masih dalam idah termasuk dalam kategori perkahwinan yang tidak sah, sama ada idah tersebut disebabkan kematian atau pun idah talak rajii.

Ini kerana bekas suami perempuan itu masih mempunyai hak untuk merujuk kembali dengan bekas isterinya itu. (Abd al-Rahman al-Adawi, al-Mufid fi al-Fiqh al-Islami: Ahkam al-Zawaj)

Larangan ini jelas dapat dilihat dalam ayat 24 daripada surah al-Nisa' yang bermaksud: "Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang bersuami, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) sebagai suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu."

Hikmah Larangan Allah


Antara hikmah syarak melarang perkahwinan dengan perempuan yang berada dalam idah adalah bagi mengenal pasti adakah rahim perempuan itu benar-benar bersih daripada benih suami terdahulu. Jika tidak dapat dipastikan rahimnya benar-benar sudah bersih daripada benih suami terdahulu, kemudian berlaku perkahwinan yang kedua pula, ia akan menyebabkan berlaku percampuran benih dan keturunan. Larangan berkahwin dengan perempuan yang masih berada dalam idah bertujuan menjaga hak suami yang terdahulu. (Abd. al-Karim Zaydan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bayt al-Muslimin fi al-Shariah al-Islamiyyah, jil 9, hlm. 197)

Justeru, mana-mana lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan yang masih dalam idah suaminya, dalam keadaan dia mengetahui perempuan yang dikahwininya itu masih dalam idah, maka akad yang dilangsungkannya itu adalah batal. Suami tidak dibenarkan bersetubuh dengan perempuan yang dikahwininya itu. Perempuan yang dikahwininya itu juga tidak berhak mendapatkan nafkah, mahar dan juga tidak wajib menjalani idah. Selain itu, isteri tersebut juga tidak terlibat dengan pengharaman musaharah (pengharaman berkahwin disebabkan wujud ikatan perkahwinan) dengan mana-mana lelaki daripada kalangan keluarga suami.

Namun, saya melihat dalam kes ini, saudara langsung tidak mengetahui isteri saudara adalah seorang janda. Justeru, jika benar-benar saudara tidak mengetahuinya, maka saudara boleh dikira sebagai jahil. Mana-mana orang yang melakukan pernikahan sebegini dalam keadaan jahil, maka akadnya adalah fasid (rosak).

Apabila Berlaku Persetubuhan


Menurut Imam Abu Hanifah, dua orang muridnya (iaitu Abu Yusuf dan Muhamad bin Hassan) dan juga Imam al-Syafi'i, apabila berlaku persetubuhan, maka pasangan tersebut wajib dipisahkan sehingga selesai idah perempuan itu dengan suami pertamanya terlebih dahulu. Selepas itu, barulah halal berkahwin dengan lelaki yang baru tersebut. (Muhammad Salam Madkur, al-Wajiz li Ahkam al-Usrah fi al-Islam)

Bagi majoriti ulama, persetubuhan yang telah berlaku itu tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi mengharamkan semula perkahwinan dengan perempuan tersebut, setelah mereka dipisahkan dan setelah habis idah perempuan itu dengan suami pertamanya. (Dr. Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, hlm. 147-148)

Ulama Mazhab Syafi'i (Muhammad al-Zuhayli, al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafi'i, jil 4, hlm. 260) menghukumkan bahawa wajib bagi seseorang perempuan menjalani idah apabila berlaku pembubaran perkahwinan jika dia telah disetubuhi sama ada:

1. Persetubuhan yang dilakukan sebelumnya melibatkan perkahwinan yang sah, fasid atau persetubuhan syubhah.

2. Persetubuhan itu berlaku pada masa yang halal iaitu suci atau haram iaitu ketika sedang haid dan berihram (haji atau umrah).

3. Pembubaran itu berlaku dengan cara talak atau fasakh disebabkan kecacatan atau li'an.

4. Talak yang berlaku itu merupakan talak rajii mahupun bain.

5. Lelaki yang menyetubuhi itu sudah baligh ataupun belum, sihat ataupun gila, sukarela ataupun terpaksa, sekalipun melibatkan lelaki yang telah dikasi alat kelaminnya.

6. Perempuan yang disetubuhi itu hamil ataupun tidak.

7. Perempuan yang disetubuhi itu sudah dewasa ataupun masih kanak-kanak.

Perkara ini bersesuaian dengan ayat 228 surah al-Baqarah dan juga dalam ayat 49 surah al-Ahzab. Ayat-ayat ini menjelaskan mana-mana perempuan yang diceraikan dan mereka belum pernah disetubuhi, maka tidak perlu menjalani apa-apa idah. Manakala bagi yang telah disetubuhi, maka hendaklah menjalani idah tanpa mengira apa bentuk pembubaran yang berlaku dalam perkahwinannya.

Ulama Mazhab Syafi'i juga menghukumkan seseorang perempuan perlu menjalani dua idah jika melibatkan dua bentuk perkahwinan fasid dan dalam setiap perkahwinan itu, pihak mahkamah telah memisahkannya daripada suaminya dan dalam setiap perkahwinan itu pula berlaku persetubuhan dengan suami. (Abu Yahya Zakaria al-Ansari, Fath al-Wahhab bi Sharh Minhaj al-Tullab, jil. 2 hlm. 106)

Kesimpulan dan Solusi


Islam menggalakkan perkahwinan, namun bukan secara sewenang-wenangnya. Perkahwinan seorang lelaki dengan seorang perempuan yang masih berada dalam idah suaminya yang bukan talak bain kubra, ialah perkahwinan yang tidak sah. Ia dikira sebagai perkahwinan yang fasid kerana calon isteri masih ada halangan untuk melangsungkan perkahwinan iaitu masih dalam idah perkahwinan terdahulu dan sepatutnya menghabiskan idah tersebut terlebih dahulu.

Pasangan tersebut mesti berpisah serta-merta jika mereka mengetahuinya ataupun dibubarkan perkahwinan oleh mahkamah jika mereka tidak mengetahuinya ataupun jika enggan berpisah.

Setelah berpisah, isteri dikehendaki menjalani idah sebanyak tiga kali suci jika telah berlaku persetubuhan dalam perkahwinan itu. Persetubuhan tersebut tidak dikira sebagai zina sebaliknya lebih berbentuk persetubuhan syubhah.

Jika berlaku dua kali perkahwinan fasid, dan dalam setiap perkahwinan itu isteri disetubuhi oleh suaminya, isteri wajib menjalani dua bentuk idah; iaitu idah suami yang pertama dan setelah selesai idah suami yang pertama, memulakan pula idah suami yang kedua.

Saranan dan Pengajaran


Berdasarkan tatacara perundangan, kebiasaannya saudara perlu menjalani proses berikut;

1. Mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sama ada perkahwinan terdahulu fasid ataupun tidak.

2. Jika perkahwinan tersebut adalah fasid, mahkamah akan memerintahkan pasangan terlibat berpisah serta merta.

3. Setelah itu mahkamah akan mengesahkan sama ada berlaku persetubuhan dalam perkahwinan itu ataupun tidak.

4. Jika berlaku persetubuhan, mahkamah akan memerintahkan pihak perempuan menjalani idah sebanyak tiga kali suci daripada tarikh sabitan kes tidak sah perkahwinan.

5. Mahkamah akan memerintahkan akad perkahwinan yang tidak sah itu dilaporkan kepada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Daerah yang berkenaan.


READ MORE- Apabila Mengahwini Wanita Dalam Idah

Iktibar Daripada Sebatang Pensel



Pernah seorang anak murid perempuan yang berumur 10 tahun bertanya kepada saya yang saat itu saya sedang menulis.

"Apa ustazah sedang tulis? ustazah menulis tentang siapa? atau pengalaman ustazah?

"Ustazah sedang menulis tentang diri kamu dan orang-orang sekeliling, tapi ada yang lebih penting daripada itu, iaitu PENSEL ini."

"Apa yang istimewa tentang pensel ini?" Tanya anak murid tersebut.

"Ustazah berharap hidupmu adalah seperti pensel ini. Walaupun sebatang pensel, ada lima nilai yang boleh kita pelajari daripadanya. Mahu tahu?"

"Ya, Ustazah."

Pertama, pensel ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. jangan lupa, ibarat pensel, ada tangan yang memegangnya. Maka, ingatlah akan adanya kuasa yang membimbing langkah hidupmu iaitu Allah s.w.t. Dia akan selalu membimbing kita menurut kehendakNYA.

Kedua, Ketika menulis, pensel kerap menjadi tumpul. Ustazah terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensel ini pasti menderita ketika diraut, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya. Begitu juga akan berlaku dalam hidup kamu. Kamu mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk dirimu menjadi lebih baik.

Ketiga, pensel ini mungkin menghasilkan tulisan yang salah. Namun kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini semula. Begitulah yang ustazah harapkan kepada anak murid ustazah ini, Sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaiki kesalahan, kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.

Keempat, tahukah anak murid ustazah ini mana yang lebih penting, luar atau isi pensel ini? Sudah tentu arang atau karbon di dalamnya. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kamu itu dan hindarilah.

Kelima, pensel ini selalu meninggalkan tanda atau goresan. Begitu juga kamu, apa sahaja yang kamu buat pasti akan meninggalkan kesannya pada diri atau pada orang lain. Ustazah berharap kamu akan selalu berhati-hati dan bijak dalam bertindak.

Inilah antara kata-kata yang baik untuk anak murid dan anak-anak membawa prinsip yang positif. Wahai ibu bapa, jangan berputus asa.Apa sahaja kata-kata semangat yang kita ulang-ulangkan kepada anak-anak (walau nampak seperti mereka tidak mengendahkan) pasti akan memberi kesan dalam jiwa mereka. Ulang-ulangkanlah!

^_____^ (Senyum sokmo)


READ MORE- Iktibar Daripada Sebatang Pensel

Kegetiran Sebuah PENGHIJRAHAN



"Ustazah, kenapa orang selalu pandang sinis pada saya? Saya tahulah saya dulu jahat, tapi sekarang saya ikhlas mahu berubah." seorang pelajar meluahkan rasa hati kepada saya melalui telefon pada hari ini (24/9/2011) pada pukul 12.35 tengahari tadi. Suaranya kedengaran seperti menangis.



"Kenapa? Cuba berterus terang." Pinta saya ingin tahu

"Saya pelik, ustazah. Sejak mengenali ustazah, saya berazam untuk berubah menjadi pelajar yang baik. Tetapi masih ada cikgu dan sebahagian kawan yang memandang sinis pada saya." balasnya sendiri.

"Sabar. Hendak berubah memang ada ujiannya. Paling penting, kamu sendiri kena kuat. Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan ingin berubah ke arah kebaikan."

Inilah antara dilema yang dialami oleh pelajar yang dahulunya nakal. Hasratnya untuk berhijrah dipandang sinis oleh sebahagian guru dan teman sekeliling. Sering kali menerima perlian dan ejekan. Bukan sekadar sindiran rakan-rakan dan rasa tidak percaya oleh orang sekeliling, malah rasa curiga yang sering ditujah oleh segelintir guru menjadi tamparan paling hebat. Guru yang diharapkan menyuntik sokongan, sebaliknya duri prasangka pula ditusukkan.

Bila berubah, dikatakan "buang tabiat" atau ingin "berlakon". Situasi ini akhirnya menjerat remaja untuk meneruskan perubahan. Berhijrah itu susah, tetapi lebih susah untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap remaja yang ingin berubah. Hal ini menyebabkan sebahagian remaja dipalit serik untuk berhijrah kerana tidak tahan dengan cercaan yang dilemparkan.

Manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Seharusnya seseorang yang ingin membetulkan kesilapan dibantu dan diberikan kekuatan, bukan merobohkan cita-citanya yang baru hendak teguh itu.

Sekiranya seseorang pelajar tersepit dalam kondisi seperti ini, teruskan niat dan tekad untuk berubah. Jangan fikirkan kata-kata orang kepada kita, tetapi fikirkan apa kata Allah kepada kita.

Antara perkara yang boleh diamalkan untuk kekal berubah adalah mencari teman yang baik agamanya. Teman yang soleh mendorong ke taman syurga, sementara teman yang fasiq menjerumuskan ke gaung neraka. Teman yang baik akan membantu, manakala teman yang buruk menambahkan buntu. Jadikanlah orang-orang soleh itu sebagai teman paling akrab yang dapat sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan, dan menegur kita andai melakukan kesilapan. Mereka jugalah yang sekali gus akan berperanan dalam menetapkan hati kita di jalan kebenaran.

Daripada riwayat Muslim, Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya perumpamaan sahabat yang soleh dan sahabat yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi - boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi - boleh jadi sama ada dia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi)."

Jika ingin berubah, kita harus yakin pada diri bahawa kita mampu untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik. Caranya adalah dengan membina gerak kerja amal takwa. Seseorang yang betakwa akan memelihara hak-hak Allah, dan Allah jualah yang akan mempertahankan kemuliaan dan hak dirinya kelak.

Seterusnya, berusahalah dalami ilmu agama. ilmu agama adalah tunjang dalam kehidupan Muslim. Agama mengajar kita menjadi individu yang baik dan berperibadi cemerlang. Ilmu juga adalah hikmah.

Daripada riwayat Tirmizi, Rasullullah s.a.w. berpesan menerusi sabdanya yang bermaksud, "Hikmah adalah barang yang hilang daripada orang Mukmin. Maka, di mana saja dia menemuinya, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya."

Doa adalah senjata orang Mukmin. Justeru, berdoalah kepada Allah untuk terus diberikan kekuatan agar tekal berubah kepada kebaikan. Mohonlah kepada Allah supaya perubahan yang dilakukan itu kekal sehingga ke akhir hayat.

Ingatlah, apabila kita benar-benar komited untuk berubah, Allah sendiri yang akan memperlihatkan "kebenaran". Andai kita sudah benar-benar berubah dan tidak lagi terjebak dengan perlakuan tidak bermoral. Dia akan "membuktikannya". Itu tugas Dia. Tugas kita adalah berusaha untuk menjadi yang terbaik. Setiap orang secara fitrahnya sukakan kebaikan. Justeru, perubahan kita ke arah kebaikan kelak akan disenangi oleh mereka di sekeliling kita, malahan makhluk di langit juga. Bersangka baiklah kepada Allah, nescaya Allah akan kurniakan kebaikan kepada kita.Amin..
READ MORE- Kegetiran Sebuah PENGHIJRAHAN

Friday 23 September 2011

Islam itu BEST!



"kakak! kakak ni dah kahwin ke belum?" tanya seorang pemuda di bahagian belakang dewan kuliah, saat itu saya menjadi AJK untuk kursus perkahwinan di salah satu IPTA (tanpa menyebut nama IPTA tersebut)

"Err..belum, kenapa adik tanya? adik ni dah kahwin ke? soal saya membalas.

"Dah kak" jawabnya.

"macam mana boleh kahwin dulu baru datang kursus? ini dah "Advance" ni." gurau saya yang akhirnya memperlihatkan betapa "lurus"nya saya saat itu.

"Kami dikahwinkan dahulu setelah isteri disahkan mengandung selepas kami terlanjur,kak." Suatu ungkapan yang jelas tetapi mengandungi kesal yang amat sangat di wajahnya.

Soalan beliau seterusnya membuatkan jantung saya hampir berhenti."Kak, nak tanya sikit boleh tak? saya nampak kakak ni macam orang yang ada ilmu." ujarnya tulus.

"Ilmu itu pinjaman dari Allah je, dik, apa yang akak boleh bantu?" Jawab saya semula.

"Kak, tadi saya dengar ustaz kat depan tu cakap pasal akidah, Akidah tu apa ya kak? Saya tak pernah tahu."

Leretan istighfar mengalir panjang dari lidah saya. Seorang pemuda islam tidak tahu mengenai akidah. Kalau diikutkan teknik orang dulu-dulu rasanya pemuda ini dah tentu kena tengking atau kena karate ala-ala "Naruto Shippuden" gamaknya.

Lantas saya susuli pertanyaan beliau dengan menyatakan latar belakang, usia, pendidikan, dan sebagainya. Ternyata beliau yang hanya baru berusia 18 tahun dan isterinya yang baru 15 tahun itu datang daripada keluarga yang tidak pernah mereka kenal akan solat, puasa dan islam di rumah mereka. Kesempitan hidup, pendidikan yang gagal menambah faktor kesilapan yang telah dilakukan. Namun taubatnya sudah nampak bertunas.

FASTAQIM...


Apa khabar iman kita semua? Pertemuan ini harapnya dapat membuah kecintaan yang lebih mendalam terhadap agama Allah. Cerita di atas tadi adalah sampel daripada ribuan cerita dan citra yang berlaku dalam realiti remaja umat islam hari ini. Namun sinar dan cahaya masih ada buat mereka.

Fastaqim... jangan takut dengan bunyinya. Ini sebenarnya satu slogan yang wajib tersemat dalam sanubari dan peribadi kita semua. Jom kita lihat sisipan daripada cahaya rabbani dan sinar nabawi yang terpancar menerusi kalimah ini.

Kalimah ini berasal dalam surah Hud ayat 112; "Maka tetaplah (fastaqim) kamu dalam jalan yang benar sebagaimana yang telah diperintahkan kepadamu." Begitu juga dalam hadis riwayat Imam Muslim, Sufyan bin Abdillah r.a pernah bertanya kepada Rasullullah s.a.w.; "Wahai Rasullullah, khabarkan padaku sesuatu dalam islam ini suatu perkataan yang aku tidak perlu bertanya tentangnya selain darimu?" Jawab Nabi s.a.w.; "Katakanlah: Aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqamahlah (tetap teguh dalam agama)."

Inilah seperkara yang amat sukar dalam hidup. Untuk beriman itu agak "simple" pada kata-kata namun istiqamah selalunya parah perlaksanaannya. Mungkin ini boleh membantu, kata Sayidina Umat al-Khattab; "Istiqamah itu adalah seperti kamu berdiri terus dan teguh mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNYA tanpa berubah-ubah seperti musang." (Lihat Ibn Qayyim dalam Madarij al-Salikin).

Hmm...amacam? Ada berani? itulah barangkali ucapan mencabar yang sering terungkap di bibir para remaja dan pemuda. Ya, manusia itu lemah tetapi atas kelemahan ini kita cuba teguhkan dan kuatkan hati. Terus belajar, walaupun hanya mula merangkak. Bukankah dahulu pun kita pernah merangkak dan hari ini kita sudah boleh berlari, melompat dan ada yang boleh buat 'parkour' sekalipun.

Hakikatnya wahai para pemuda sekalian...Jangan lagi leka, Benih iman sudah tersimpan kemas dalam hatimu. Suburkannya dengan istiqamah. Istiqamah dengan islam kerana dengannya kita akan jadi "best". Kita adalah yang paling "best" kerana islam itu "the best". Apapun yang mendatang, jangan gentar. Bukankah kita remaja yang sangat ceria dan penuh "energetic". Jadi apa tunggu lagi...fastaqim dan kecapi nikmat kejayaan!

"Istiqamah itu adalah seperti kamu berdiri terus dan teguh mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNYA tanpa berubah-ubah seperti musang."

^____^ (senyum selalu)
READ MORE- Islam itu BEST!

Jujurlah Sahabatku Kerana Syurga Itu Ada



Sahabatku,
Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Padahal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri.Walau begitu sukar untuk mendapatnya tetapi jangan sekali-kali kau korbankan jalan yang benar hanya untuk mencapai kemenangan. Biar kalah, jangan salah. Percayalah, kemenangan tanpa kebenaran tetap satu kekalahan di sisi Allah!

Paling teruji apabila kau lihat orang lain yang mengikut lorong salah.. lalu dia cepat sampai, sedangkan kau di lorong yang betul masih lelah menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu. Dan hampir-hampir kita melepaskan kebenaran itu semua hanya kerana tidak sanggup melihat kebatilan melonjak ria.

Namun sahabatku, percayalah akhirat itu ada. Ada lagi ketawa di sana. Dan percayalah "One who laugh last, laugh the best"-Ketawa paling akhir (di syurga) adalah ketawa yang paling baik. Beringat-ingatlah, sesiapa yang ketawa dalam membuat dosa ketika di dunia akan masuk ke neraka dalam keadaan menangis.

Sahabatku,
Aku ingin mengingatkan bahawa acapkali duri berselindung di sebalik bunga..iaitu kita yang tercium keharumannya sering alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Sudah lumrah dunia, huluran tangan yang ikhlas dan lembut kadang-kadang dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yang lembut dan halus dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati yang paling tajam. Tetapi jangan kau gusar, kekalkan kejujuranmu  walaupun terpaksa terkorban. Asalkan sahaja kejujuran itu diiringi satu kebijaksanaan.

Ingatlah hakikat ini, bahawa tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini. Justeru, di sana ada akhirat supaya segala topeng kepura-puraan yang selama di dunia bertakhta akan terhenyak dan mendapat pembalasan. Jangan gopoh untuk menang. Lihatlah betapa lamanya doa Nabi Musa dimakbulkan. Kenangkan pula betapa lama perjuangan Nabi Ibrahim dimenangkan. Paling nestapa apabila nasib Yasir dan Sumaiyah yang terpaksa terkorban tanpa merasai nikmat kemenangan. Sama pula nasibnya seperti Siti Asiah yang dibunuh oleh Firaun laknatullah.

Apa pinta Siti Asiah menjelang kematiannya? Ya Allah binakan aku sebuah rumah di syurga. Apa pesan Rasullullah untuk Yasir dan Sumaiyah? Sabarlah keluarga Yasir, bagimu syurga. Kenangkan syurga wahai sahabatku...Tagihlah janji Allah itu!

Namun jika itu yang kita ingatkan kepada yang lain, pasti ada yang mengatakan bahawa itu hanya escapisme. Apabila kecewa dengan manusia, Orang "lari" kepada Tuhan; apabila tidak dapat meraih dunia, orang mula merindui akhirat, apabila terlepas kenikmatan nafsu; baru ada yang merintih syurga itu ada!

Bukan, tidak begitu. Keyakinan kepada Allah dan hari akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh ateis dalam diri yang mendakwa bahawa manusia itulah yang "mencipta" Tuhan demi ketenangan. Manusia tidak mencipta Tuhan demi satu ketenangan, tetapi Tuhan mencipta manusia untuk mengingatiNYA kerana di situ ada ketenangan.

Lalu selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dengan manusia. Dan sesiapa yang memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya!

Kita tidak selalu benar dalam pendirian dan tindakan.. Kita hanya manusia, walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah, tetapi kerana kealpaan dan kejahilan kita tersasar jua. Kita ingin tenang, tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah jua. Ada rasa marah, ada rasa resah..tetapi semua itu adalah "bayaran tol" di lebuh raya mujahadah.

Sahabatku,
Marilah sama-sama kita berdoa; Ya Allah, ampunkanlah kami, Berilah kami kekuatan untuk memaafkan diri kami sendiri dan juga orang lain. Kami masih tidak pandai mensyukuri nikmatMU kerana kami masih mendidik hati dalam menerima ujianMU.

Ya Allah, cuma satu.. janganlah Engkau serahkan diri kami kepada diri kami sendiri walau sekelip mata. Kutiplah kami Ya Allah untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufikMU.

Ya Allah, kami sentiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah kami untuk menjadi orang yang jujur dan benar..walau apa jua keadaan dan cabarannya!

Amin..
READ MORE- Jujurlah Sahabatku Kerana Syurga Itu Ada

Sunday 18 September 2011

KENANGAN SEMALAM



Hadir mu bagaikan mimpi
Umpama kabus di pagi hari
Kala hati-hati masih ingin bersama
Menongkah arus mengemudi bahtera
Kau pergi tanpa pesan

Nahkoda terkedu sepi di tepian
Memandang jauh penuh kegelisahan
Mengemudi bahtera dilautan bergelora
Tanpa kata untuk diucapkan
Mengenangkan badai yang melanda
Hanya Tuhan tempat mengadu

Teman
Kau masih belum mengerti
Walaupun kau dan aku sama melangkah
Mengemudi sebuah perjalanan
Di lautan penuh ombak bergelombang
Dalam meniti arus kehidupan
Antara realiti dan fantasi
Namun bila aku merenungi bahtera ini
Sememangnya ianya penuh berduri

Bahtera
Kau tetap akan meluncur laju
Merentangi lautan samudera
Walaupun ombak badai melanda
Kerana perjalanan ini telah ditentukan.......
READ MORE- KENANGAN SEMALAM

CATATAN POPULAR